KUALA LUMPUR 27 Mei – Kumpulan Sunway akan memperkenalkan mesin pengeluaran beras atau Mesin ATM Beras bagi mempermudahkan bantuan kepada golongan memerlukan disalurkan.
Pelancaran kemudahan itu akan dilakukan di Masjid Al Husna, Bandar Sunway, Petaling Jaya dekat sini, esok.
Kumpulan Sunway dalam kenyataannya memaklumkan, usaha berkenaan bertujuan memudahkan pengurusan pihak masjid atau komuniti setempat dalam membantu golongan miskin dan memerlukan.
“Pelancaran mesin ini juga adalah sebahagian daripada program #sunwayforgood Raya Cheer 2019 yang menyasarkan bantuan kepada 11,520 golongan kurang bernasib baik di bulan Ramadan,” menurut kenyataan itu.
Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Razman Hashim dijadualkan hadir untuk menyempurnakan majlis pelancaran mesin pukul 4.30 hingga 6.45 petang.
Selain itu, Kumpulan Sunway akan turut mengedarkan bubur lambuk kepada komuniti setempat pada majlis berkenaan. – UTUSAN ONLINE











