Warga Nigeria dituduh bunuh Siti Kharina - Utusan Malaysia

Warga Nigeria dituduh bunuh Siti Kharina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 27 Mei – Seorang lekaki warga Nigeria dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd. Kamarudin, minggu lalu.

Tertuduh yang merupakan suspek utama kes berkenaan, Alowonle Oluwajuwon Gilbert, 36, sekadar tunduk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, A. Akhiruddin @ Boy Acho.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut kertas pertuduhan, Alowonle Oluwajuwon membunuh Siti Kharina di sebuah unit kondominium di Third Avenue Cyberjaya, dekat sini antara pukul 12.41 pagi, 9 Mei hingga 2.30 petang, 15 Mei lalu.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasharina Nazlan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 31 Julai depan sementara menunggu laporan bedah siasat, laporan kimia, keputusan ujian deoksiribonukleik (DNA), rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta telefon bimbit.

Tertuduh yang sebelum ini direman selama 14 hari bermula 17 Mei lalu tiba di mahkamah pada pukul 9.50 pagi, memakai baju denim biru, dengan kenderaan polis dalam keadaan tangan bergari.

Suspek ditahan minggu lalu di sebuah kafe di pusat beli belah Cheras Sentral, Cheras, kira-kira 24 jam selepas penemuan mayat Siti Kharina.

Berdasarkan siasatan awal polis di kondominium terbabit, suspek adalah individu terakhir yang dikesan menerusi CCTV, keluar dari kediaman mangsa.

Sementara itu di mahkamah sama, dua individu iaitu seorang wanita warga Nigeria, Cletus Gelen Eboh, 35 dan lelaki warga Pakistan, Rasool Ghulam, 38, yang turut ditahan bagi membantu siasatan kes sama dibebaskan dengan Bon Mahkamah berjumlah masing-masing RM13,000 dan RM11,000.

Pada masa sama A. Akhiruddin turut memerintahkan paspot mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Media sebelum ini melaporkan, Siti Kharina, 40, yang dilaporkan hilang pada 8 Mei lalu ditemukan maut dalam keadaan tidak lengkap berpakaian dengan kesan kelar di bahagian dada, dipercayai dibunuh dalam sebuah unit kondominium di Cyberjaya.

Mayatnya ditemukan oleh pemilik rumah sewa berkenaan selepas melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu sebelum menghubungi polis. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini