KUALA LUMPUR 27 Mei – Empat ahli kongsi gelap termasuk ketuanya ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu lalu selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pemerasan terhadap seorang pengusaha lori di Banting dekat sini pada 17 Mei lalu.
Dalam tangkapan tersebut, kesemua suspek berusia antara 32 dan 42 tahun yang merupakan ahli geng 77 dan 30 itu ditahan di sekitar kawasan Banting, Selangor susulan satu laporan polis dibuat berhubung kegiatan mereka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, seorang ahli perniagaan berusia 27 tahun mendapat maklumat bahawa pekerjanya telah ditahan oleh sekumpulan lelaki di Banting.
Ujarnya, mangsa kemudian telah pergi ke tempat kejadian dan berjumpa dengan ketua kumpulan tersebut yang memperkenalkan dirinya sebagai Abang Long Balang.
“Suspek telah mengugut untuk mencederakan mangsa dan meminta mangsa membayar wang perlindungan kepadanya setiap bulan.
“Tidak cukup dengan itu, mangsa kemudiannya telah dipaksa masuk ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum diperkenalkan kepada seorang lagi lelaki dikenali Lan Taro yang meminta mangsa membayar RM18,000 sekiranya tidak mahu lorinya dibakar dan dipecahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ampang di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Fadzil memberitahu, susulan itu, mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada hari sama sebelum kesemua suspek ditahan kelmarin.
“Hasil siasatan mendapati suspek utama Abang Long Balang yang merupakan bekas anggota polis dan telah dibuang kerja sebelum ini giat menjalankan pemerasan bersama rakannya Lan Taro.
“Beberapa suspek lain juga telah dikenal pasti dan mereka diminta hadir ke JSJ Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk siasatan lanjut,” jelasnya.
Tambah Fadzil, kesemua suspek kini ditahan reman dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.-UTUSAN ONLINE











