KUANTAN – Teruja hendak membeli barang kemas untuk digayakan pada Hari Raya Aidilfitri nanti, seorang pengasuh bayi kerugian RM4,247 selepas ditipu tauke emas di laman sosial Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komesial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang merupakan wanita berusia 30 tahun itu tertarik untuk membeli beberapa barang kemas selepas melihat iklan di laman Facebook pada Februari lalu.
“Mangsa berurusan dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai Siti Noor Faezah Ismail dan bersetuju membeli dua utas rantai tangan, seutas rantai leher, sebutir loket serta sebentuk cincin emas dengan harga RM4,247.
“Pengasuh tersebut melakukan dua transaksi pemindahan wang melalui mesin juruwang automatik ke dalam akaun milik seorang lelaki,” katanya melalui kenyataan akhbar di sini hari ini.
Ujar Mohd. Wazir lagi, suspek berjanji untuk menghantar barang kemas tersebut melalui khidmat pos, namun mangsa masih tidak menerima sebarang bungkusan yang dijanjikan sejak Februari lalu.
“Mangsa berasa tertipu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tambahnya. – K! ONLINE











