KUANTAN 27 Mei – Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) seharusnya membantu peniaga bazar Ramadan di daerah ini untuk menjalankan peniagaan bukannya membebankan mereka dengan menetapkan kadar sewaan tinggi.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, beliau telah melakukan pemantauan di beberapa bazar Ramadan di daerah ini dan mendengar sendiri rungutan daripada peniaga di situ.
Antara rungutan utama diterima, katanya, adalah berhubung kadar sewaan yang terlalu tinggi iaitu antara RM8,000 ke RM12,000.
“Memandangkan kos ekonomi yang merundum peniaga-peniaga bumiputra ini tidak dapat menampung kos sewaan berkenaan.
“Kenapa hendak membebankan peniaga? Pihak penganjur khususnya MPK seharusnya membantu peniaga khususnya orang Melayu dan bumiputera untuk berniaga dengan memudahkan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Haslihelmy berkata, antara cara yang boleh dilakukan adalah MPK mengutip sewa dari peniaga dan menyerahkan kepada mereka untuk memasang kanopi serta meja.
“Pihak MPK tolong bekalkan api, air dengan mengambil yuran mengutip sampah beserta parkir, sebagai contoh, bayaran keseluruhan tapak kepada MPK RM100,000 dan penganjur mengaut keuntungan RM1 juta,” jelasnya.
Beliau dalam pada itu berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan akan terus memainkan peranan untuk mengimbangi hak, mengetengahkan tuntutan serta melaporkan isu yang melibatkan kepentingan masyarakat.
“Apa yang penting kita mencari solusi isu antara masyarakat dengan pemimpin dan agensi kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











