PENJAGA gol kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC), Zarif Irfan Hashimuddin semakin tidak sabar menantikan sesi latihan bersama skuad Harimau Malaya selepas mendapat panggilan pertama untuk menggalas tanggungjawab bersama pasukan kebangsaan di Stadium UM Arena, Universiti Malaya, Kuala Lumpur malam ini.
Ia merupakan kali pertama Zarif menyertai skuad senior negara selepas kali terakhir beraksi untuk Harimau Muda pada 2013.
Jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe telah memanggil penjaga berusia 24 tahun berkenaan menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya bagi menggantikan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang mengalami kecederaan meskipun telah berada dalam senarai awal 26 pemain.
“Pertama sekali syukur akhirnya Cheng Hoe telah memberikan kepercayaan untuk menggalas misi bersama skuad Harimau Malaya.
“Saya tidak kisah biarpun mendapat panggilan lewat berbanding pemain lain kerana ia merupakan kebanggaan buat diri dan sanggup berkorban melupakan persiapan hari raya.
“Apa pun yang penting adalah saya mahu buktikan kemampuan sebenar bermula hari pertama latihan supaya kepercayaan yang diberikan berbalas.
“Saya sedar bukan mudah untuk mendapat tempat apabila perlu bersaing dengan penjaga gol JDT, Mohd. Farizal Marlias dan Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim dari Kedah, namun apa yang penting saya perlu memanfaatkan peluang yang telah diberikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kesemua pemain yang telah disenaraikan akan terlibat dengan aksi persahabatan menentang Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 2 Jun depan.
Skuad Harimau Malaya kemudian akan mengharungi aksi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor-Leste di venue sama pada 7 Jun dan 11 Jun.











