LONDON – Sebuah hutan prasejarah yang hilang sejak ribuan tahun dahulu muncul kembali selepas Ribut Hannah membadai Teluk Cardigan di Ceredigion, Wales baru-baru ini.
Hutan seluas 4.8 kilometer tersebut terbenam di bawah air dan pasir antara 4,500 hingga 6,000 tahun dahulu tetapi muncul kembali selepas air di kawasan itu surut akibat Ribut Hannah.
Jurugambar amatur, Wayne Lewis, 38, dari Welshpool dekat sini menyifatkan hutan Zaman Gangsa yang terlindung sejak ribuan tahun tersebut kelihatan sangat menakjubkan.
“Kewujudan hutan itu mula disedari pada tahun 2014 tetapi ia tidak dapat dilihat sepenuhnya kerana biasanya anda hanya boleh melihat tunggul kayu. Nampaknya ia telah muncul kembali. Saya tidak pasti mengapa tetapi ia berkemungkinan disebabkan kombinasi Ribut Hannah dan air surut,” katanya.
Antara pokok yang pernah hidup di hutan purba itu termasuk pain, alder, oak dan birch. Hutan itu juga menjadi sumber bagi legenda setempat iaitu sebuah kerajaan yang tenggelam dikenali sebagai Cantre’r Gwaelod.
Legenda itu mula muncul pada abad keenam dengan Cantre’r Gwaelod dikatakan ditadbir oleh seorang raja bernama Gwyddno Garanhir.
Versi awal legenda tersebut menceritakan mengenai tanah yang tenggelam apabila seorang paderi, Mererid membenarkan air di kawasan tersebut melimpah.
Bagaimanapun, versi paling popular yang terus diceritakan sehingga ke hari ini adalah Cantre’r Gwaelod dahulunya satu pekan lebih 30 kilometer lebar yang sangat subur tetapi akhirnya lenyap ditelan air laut. – Agensi











