Kaca kuning Mesir purba daripada meteorit 29 juta tahun lalu - Utusan Malaysia

Kaca kuning Mesir purba daripada meteorit 29 juta tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH, Mesir – Satu kajian mendakwa kaca unik yang ditemui di padang pasir Mesir telah dihasilkan daripada impak sebuah meteorit kira-kira 29 juta tahun dahulu, sekali gus membongkar teka-teki bagaimana ia dihasilkan, lapor akhbar Daily Mail.

Penyelidik percaya asal-usul batuan yang dipanggil Kaca Padang Pasir Libya yang bertaburan di Gurun Sahara di Mesir dan Libya itu terbentuk apabila sebuah meteorit meletup di lapisan atmosfera Bumi.

Kaca itu terbentuk secara semula jadi apabila bahan binaannya mencair dan menyejuk secara pantas menyebabkan molekul di dalamnya tidak membentuk struktur sepatutnya seperti sebutir kristal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia menjadi topik perdebatan yang berterusan sama ada kaca itu terbentuk ketika kesan impak meteorit itu atau ketika letupan yang berlaku di udara,” kata penyelidik daripada Universiti Curtin, Aaron Cavosie tentang kajian tersebut.

Kajian itu mendapati letupan di udara tersebut turut menyebabkan kemusnahan teruk pada harta benda dan mencederakan manusia.

“Impak meteorit itu merupakan satu bencana walaupun ia tidak berlaku dengan kerap. Letupan di udara sebenarnya berlaku lebih kerap daripada disangkakan tetapi kita boleh jangkakan bahawa insiden besar seperti di Libya 29 juta tahun lalu itu tidak akan berulang dalam masa terdekat,” katanya.

Kaca tersebut boleh digunakan pada pelbagai perhiasan purba termasuk azimat berbentuk kumbang yang ditemui pada perhiasan dada di sebelah mumia Firaun Tutankhamun. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini