BANGKOK 26 Mei – Bekas Perdana Menteri Thailand dan penasihat istana, Jeneral Prem Tinsulanonda meninggal dunia pada usia 98 tahun ekoran kegagalan jantung, hari ini.
AFP yang memetik Speaker Dewan Chai Chidchob sebagai berkata, negarawan itu meninggal dunia pada kira-kira 9.10 pagi waktu tempatan di Hospital Phramongkutklao, Bangkok, di sini.
Prem yang berkhidmat dengan Raja Maha Vajiralongkorn dan mendiang bapanya, Raja Bhumibol Adulyadej selaku Pengerusi Majlis Privy sejak 1998. Beliau dikenali sebagai seorang penasihat cukup dipercayai kepada Raja Bhumibol.
Beliau turut berkhidmat sebagai pemangku raja sejurus selepas Raja Bhumibol meninggal dunia pada 13 Oktober, 2016 sehingga perisytiharan Vajiralongkorn sebagai Raja pada Disember tahun yang sama.
Prem adalah Perdana Menteri ke-16 Thailand, dan berkhidmat bagi tiga penggal dari 1980 hingga 1988. Beliau yang dilahirkan pada 1920 di Songkhla, Thailand Selatan itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Menangah Vajiravudh di Songkhla dan kemudian Sekolah Suankularb Wittayalai di Bangkok. -AFP











