Hamid bukan cakap kosong - Utusan Malaysia

Hamid bukan cakap kosong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA ini kita berada dalam bulan Ramadan, tidak sampai 10 hari lagi umat Islam akan menyambut 1 Syawal. Beribadat penuh ketenangan di bulan penuh keberkatan dan meraikan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana meriah sudah tentulah menjadi impian semua orang. Bagaimana pula jika tahun depan ada individu yang tidak dapat merasai semua itu. Bukan kerana dia kembali kepada Allah SWT tetapi disebabkan menjalani hukuman di sebalik tirai besi akibat sikap tamak menerima rasuah atau melakukan salah guna kuasa.

Penulis mengaitkan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dengan peringatan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang berkata, “Saya menyeru kepada pegawai-pegawai saya, sebelum terlambat, selagi belum pakai baju jingga, sama ada di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan tangan bergari maknanya belum terlambat kita patah balik..hentikan amalan tidak baik.”

Amaran itu diberikan bagi meminta pegawai dan anggota PDRM memutuskan apa juga hubungan dengan sindiket judi dan maksiat. Isu sindiket judi dan maksiat menguasai segelintir pegawai dan anggota polis, bukanlah perkara baharu, ia sudah berlanjutan sekian lama. Sebagai seorang yang pernah menjadi Timbalan Pengarah Cawangan Khas tidak berapa lama dahulu, Abdul Hamid tidak bercakap kosong, sebab itulah beliau memberi amaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beberapa tahun lalu, Utusan Malaysia pernah mendedahkan mengenai sindiket judi haram yang begitu bermaharajalela. Segelintir pegawai dan anggota penguat kuasa termasuk daripada PDRM sanggup menjadi ‘balaci’ kepada sindiket berkenaan semata-mata mahu hidup mewah dengan menjamah wang haram.

Penulis yang terlibat secara langsung melakukan pendedahan sindiket tersebut dengan bantuan sebuah agensi kerajaan terkejut, apabila setiap malam ada sindiket yang mampu mengaut RM5 juta semalam. Bagaimanapun wang yang ditaburkan bagaikan dedak ayam kepada anggota agensi penguat kuasa hanyalah RM1 juta sebulan. ‘Dedak-dedak’ ini disuapkan kepada anggota-anggota tersebut yang mempunyai kuasa boleh mengganggu operasi mereka.

Sindiket judi dan maksiat bukan sekadar berkaitan soal memperoleh wang secara haram tetapi lebih daripada itu, ia boleh meruntuhkan masyarakat dan memusnahkan ekonomi negara. Banyak kes berlaku akibat bahana judi. Contohnya ada rumah tangga porak peranda, ada suami sanggup menjual isteri kerana berhutang dengan ah long akibat kemaruk judi, ada individu ditahan kerana melakukan pecah amanah disebabkan ketagihan sama.

Sindiket judi tidak kisah semua itu, apa yang penting bagi mereka ialah mengaut keuntungan sebanyak mungkin. Paling malang, kegiatan jahat mereka dibantu oleh segelintir pegawai atau anggota polis yang sanggup menggadaikan maruah dan menjadi pengkhianat kepada pasukan demi untuk mendapat wang secara mudah.

Mereka sudah tidak peduli lagi apa yang akan berlaku kepada anak bangsa dan negara. Apa yang penting bagi mereka ialah hidup mewah melalui cara bergelumang wang haram bersama anak isteri yang tidak tahu apa-apa.

Sindiket judi sanggup mengeluarkan berapa sahaja belanja bagi memastikan operasi mereka tidak diganggu. Jumlah wang ditaburkan kepada segelintir pegawai dan anggota agensi penguat kuasa hanyalah bak kata orang ‘celah gigi’ mereka, yang tidak cerdiknya ialah pegawai dan anggota tersebut. Hanya disebabkan segumpal wang haram mereka sanggup menjadi ‘pak turut’ kepada sindiket.

Namun begitu seperti mana gesaan Abdul Hamid, masih belum terlambat untuk mereka yang terlibat menghentikan perbuatan tersebut. Sememangnya bukanlah mudah memandangkan mungkin ada antara mereka sudah bertahun-tahun menjalankan ‘kerjasama melalui strategi lautan biru’ – lu tolong gua, gua tolong lu.

Tetapi Abdul Hamid sudah memberi ruang dan kesempatan untuk mereka kembali ke pangkal jalan. Kalaulah langkah itu akan menyebabkan mereka berhadapan dengan tindak balas sindiket, mereka perlu bersedia menghadapinya.

Sepanjang penulis bersama rakan-rakan melakukan pembongkaran mengenai kegiatan sindiket judi dan maksiat sejak 2016, taiko-taiko judi tidak menjadi pemurah begitu sahaja. Setiap sen dan apa juga perkara yang mereka ‘sogokkan’ waima ‘sebiji’ tayar sekalipun ‘semuanya direkodkan’. Perkara ini terbukti dalam satu serbuan oleh satu agensi penguat kuasa di sebuah negeri di selatan tanah air tidak berapa lama dahulu. Antara dijumpai ialah buku rekod yang mencatatkan  ‘siapa penerima-penerima sumbangan’ daripada sindiket berkenaan.

Oleh itu kepada pegawai dan anggota agensi penguat kuasa yang masih mempunyai hubungan dengan sindiket berkenaan, fahamilah anda sudah pun berada dalam genggaman sindiket tetapi ia bukan bermakna sudah terlambat untuk bertaubat. Namun jika anda masih mahu juga meneruskan hubungan tersebut, tinggalkan sahaja pasukan. Jangan diseret maruah pasukan atau agensi anda melayan nafsu serakah kalian. Apabila anda sudah tidak lagi bersama pasukan, ketika itulah anda tahu nilai sebenar anda di mata sindiket.

Apapun bagi PDRM, Abdul Hamid sudah memberi nasihat dan amaran. Oleh itu terserah kepada pegawai dan anggota pasukan tersebut memilih. Apa yang pasti, mengenali Abdul Hamid, sudah terbukti, beliau tidak sekadar bercakap!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini