KABUL 26 Mei – Dua remaja lelaki bawah umur dijatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun oleh Mahkamah Afghanistan di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan menculik dan membunuh seorang kanak-kanak berusia enam tahun, Mac lalu.
Mahkamah bagaimanapun tidak mendedahkan nama kedua-dua tertuduh kerana berusia kurang daripada 18 tahun.
Mangsa, Mahsa Ahmadi diculik di sebatang jalan di Kabul pada Mac lalu dan dibunuh selepas ibu bapa kanak-kanak itu gagal membayar wang tebusan berjumlah AS$300,000 (RM1.25 juta).
Kedua-dua ditahan polis selepas sebuah klip video yang memaparkan pengakuan mereka tersebar luas.
Kedua-dua suspek mengaku menculik mangsa dan membawanya menaiki motosikal, sebelum mencekik kanak-kanak malang itu sehingga mati selepas gagal mendapatkan wang tebusan.
Bapa kanak-kanak itu bagaimanapun menyifatkan, hukuman yang dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh adalah terlalu ringan dan tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan. – AFP











