PARIS 26 Mei – Juara Wimbledon yang juga pilihan kelima, Angelique Kerber menjadi mangsa pertama kejohanan tenis Terbuka Perancis apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pemain No. 81 dunia, Anastasia Potapova dari Rusia dalam aksi pembukaan, sebentar tadi.
Kerber, 31, yang berusaha melengkapkan karier Grand Slam tewas 4-6, 2-6 kepada remaja berusia 18 tahun, Potapova yang hanya membuat penampilan sulung Terbuka Perancis.
Bekas pemain No. 1 dunia dari Jerman itu tiba di Paris dengan dibayangi masalah buku lali yang memaksanya menarik diri daripada Terbuka Itali dan pusingan kedua Terbuka Madrid.
“Saya bermain dengan keyakinan tinggi dan terima kasih kepada jurulatih saya,” kata Potapova.
Itu adalah kemenangan pertama Potapova ke atas pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia, sekali gus bakal menemukannya dengan pemenang di antara pemain China, Wang Yafan atau Marketa Vondrousova dari Republik Czech pada pusingan kedua. – AFP











