LAHAD DATU – Seorang wanita yang tidak tahan dengan sikap suami kerana sering mendera dan berlaku curang bertindak menikam suaminya ketika tidur dalam kejadian di sebuah bilik sewa tingkat atas bangunan kedai di Bandar Cenderawasih, Sahabat 7, dekat sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian pada pukul 7.20 pagi itu, mangsa, Rasalan Jaya, 32, seorang pengawal keselamatan, mengalami cedera parah di bahagian perut dan meninggal dunia di Hospital Lahad Datu pada pukul 5.05 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, ketika kejadian, mangsa sedang baring di bilik sebelum isterinya berusia 26 tahun mengambil pisau pemotong sayur di dapur dan menikam mangsa di sebelah kanan perut.
“Mangsa mencabut pisau yang tertusuk diperutnya dan meletakkan di atas katil sebelum menuju ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudian membuang pisau itu keluar melalui tingkap dan hanya bersembunyi di bilik sewa mereka sebelum ditahan polis dua jam kemudian. – Bernama











