Kanak-kanak dua tahun maut disyaki didera bapa tiri - Utusan Malaysia

Kanak-kanak dua tahun maut disyaki didera bapa tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN 26 Mei – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut disyaki didera oleh bapa tirinya dalam kejadian di sebuah rumah di Batu 19 3/4 Jalan Yan, Guar Chempedak di sini semalam.

Mangsa, Muhammad Aqil Hairi Mohd. Azrul Epindi ditemui tidak sedarkan diri di bahagian dapur rumah oleh bapa tirinya yang juga suspek kes berkenaan kira-kira pukul 7.30 malam.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, suspek berusia 28 tahun itu mendakwa menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum membawanya terus ke hospital.

Memuatkan artikel berkaitan…
SHAHNAZ AKHTAR HAJI
SHAHNAZ AKHTAR HAJI 

“Doktor mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia sebelum suspek membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Guar Chempedak pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Shahnaz Akhtar, proses bedah siasat yang dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar mendapati punca kematian kanak-kanak itu adalah disebabkan oleh kecederaan daya tumpul pada bahagian abdomen mangsa.

“Menurut pakar, berdasarkan corak kecederaan pada badan mangsa adalah daripada perbuatan yang disengajakan. Kanak-kanak itu kemungkinan dicubit atau ditumbuk pada bahagian perut dan belakang badan berdasarkan kesan lebam,” ujarnya.

Katanya lagi, kecederaan abdomen dalaman yang dialami oleh mangsa adalah seperti koyakan pada hati, kesan lebam pada usus dan pendarahan pada pankreas.

“Kesemua kecederaan dalaman adalah kecederaan baharu dan tidak sampai beberapa jam sebelum mangsa meninggal dunia,” katanya.

Ujarnya, suspek tidak bekerja dan ibu mangsa berusia 23 tahun yang juga seorang peniaga ikan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini