DAH monyet pula? Agaknya kalau ada gajah, zirafah, badak atau unta sekali pun di depan mata, haiwan ini berkemungkinan turut menjadi mangsa dera dan bunuh. Cuma mungkin harimau atau singa, si pendera haiwan gerun. Iyalah, sebabnya, takut belum sempat didera sudah kena baham. Begitulah tahap yang boleh saya sifatkan agak kritikal juga penderaan haiwan di negara ini. Saya tidak suka guna istilah kes `terkawal’. Tiada istilah terkawal atau terpencil untuk apa-apa kes jenayah. Semuanya mesti diambil serius!
Di negara ini, tak kira haiwan apa pun, perlakuan dera terhadap makhluk yang juga ciptaan Tuhan ini memang cukup sadis dan bukan isu baharu. Yang biasa kita dengar dan lihat adalah penderaan kucing atau anjing. Sudah banyak kes. Tak sanggup saya perincikan satu persatu. Boleh menganggu emosi.
Baru-baru ini satu rakaman video berdurasi 20 saat menjadi tular yang memaparkan seorang lelaki menembak seekor monyet dalam sangkar kerana enggan bercakap ‘baby sayang’. Menerusi rakaman video, lelaki itu mengugut dan menyuruh seekor monyet bercakap perkataan ‘baby sayang’ dan menembak monyet itu kerana tidak berbuat demikian. Berikutan penularan itu, polis menahan dua lelaki di Setiawan, Perak yang dipercayai terlibat dalam kes ini.
Daripada dipukul, diracuni, dilanggar dengan kenderaan, dimasukkan ke dalam mesin basuh, ditembak sehinggalah dijadikan makanan, sudah macam-macam penderaan dan kekejaman dilakukan oleh manusia terhadap haiwan. Itu yang kita nampak ditularkan dalam media sosial. Yang kita tidak nampak, entah apa pula. Semuanya jelas dilakukan dengan sengaja. Sengaja mahu melihat haiwan itu mati di depan mata dengan tidak ada sebab apa-apa. Saja-sajalah kata orang, macam dah tak ada kerja lain.
Dan ada pula yang menganggap perbuatan ini sebagai satu hiburan dan keseronokan. Macamlah dalam dunia ini sudah tiada lagi hiburan. Walhal dalam banyak hal, ramai saja yang mudah sangat terhibur walaupun tiada unsur-unsur hiburan dalam sesuatu isu, kejadian ataupun lawak, mereka boleh ketawa, walaupun tak kelakar.
Apa pun, perbuatan kejam membunuh dan mendera haiwan tidak harus didiamkan apatah lagi dibiarkan dengan beranggapan hanya nyawa manusia saja yang cukup berharga, amat penting dan boleh hidup di muka bumi ini. Haiwan tak penting. Hidup, makan atau mati, jangan peduli. Sedangkan dalam al-Quran ada disebut; “Dan tiada satu pun di antara haiwan melata di bumi atau pun burung terbang dengan dua sayapnya melainkan mereka juga umat-umat seperti kamu; tiada satu pun yang Kami lupakan di dalam Kitab, kemudian kepada Tuhannya mereka dikumpulkan.” (al-An’am,6: 38)
Adakah anda pencinta haiwan? Kalau bukan, ini tidak bermakna anda boleh melakukan sesuka hati kepada haiwan. Macam manusia jugalah, kalau tidak suka atau mencintai seseorang itu, tak payah kacaulah. Biarkan saja. Tak akan itu pun tak faham.
Pernah seorang kawan memberitahu saya, semasa dia memandu di sebatang jalan besar ditemani anak-anaknya, tiba-tiba di laluan paling kanan sebuah kereta berhenti. Seperti tidak percaya, apa yang dilihat, orang itu mencampakkan dua ekor kucing di tengah jalan. Kawan saya itu, tidak boleh menghentikan kenderaannya dengan mengejut untuk menyelamatkan haiwan itu kerana banyak kereta lain di belakang. Apa jadi dengan kucing itu? Dia pun tidak tahu.
Saya rasa agak tertekan mendengar cerita-cerita sebegini. Kenapa tidak ambil nombor plat kereta orang yang buang kucing itu? Elok diviralkan dalam media sosial supaya si pelaku dapat ditangkap.
Kenapa membuang kucing di tengah jalan sesak? Penyakit kemurungan apakah yang dialami oleh orang ini? Kalau hendak buang pun, tak bolehkah buang di tempat yang selamat. Berhampiran kedai makan misalnya? Akal letak di mana?
Jadi memang patutlah kes penderaan haiwan ini di negara ini dilayan sama rata dengan jenayah lain. Sama seperti jenayah yang melibatkan nyawa dan keselamatan manusia. Kalau dipandang remeh, akan menjadi-jadi pula.
Apa hukuman kepada si pendera haiwan di negara ini? Di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2017, sesiapa yang didapati bersalah melakukan penderaan atau kekejaman ke atas haiwan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.
Hukuman ini sudah cukupkah? Bagi saya soal cukup atau tidak, itu soal kedua, yang penting orang yang melakukan penderaan ini harus dibawa ke pengadilan dan dihukum. Bukan dibiarkan menggila. Memanglah tidak berbaloi orang yang menembak seekor monyet atau memasukkan kucing bunting di dalam mesin basuh cuma dihukum denda atau penjara dalam tempoh yang singkat, kalau boleh ramai mahu si pendera merasa sendiri kesakitan yang dilalui oleh haiwan yang menjadi mangsa. Itu undang-undang dunia, mungkin terlepas sengsara itu, akhirat boleh lepas?
Jadi, apa yang kita boleh bantu? Laporkanlah sebarang kejadian penderaan haiwan yang kita nampak. Nak harap manusia kejam dan tidak berakal sebegini tiba-tiba jadi baik dan bijak, jangan berharap.











