Masa amat pantas berlalu. Kita kini sudah berada pada 10 hari terakhir Ramadan. Dengan kata lain, kita berada pada waktu yang sangat berharga dalam setahun iaitu akan datangnya malam al-qadr. Keutamaan lailatulqadar amat luar biasa kerana malam ini lebih baik daripada 1,000 bulan atau bersamaan dengan 83 tahun empat bulan.
Dalam sebuah hadis daripada Aishah r.ha bahawa Rasulullah SAW beriktikaf di masjid dalam 10 hari yang terakhir Ramadan dan kemudian baginda bersabda: Carilah lailatulqadar dalam 10 malam yang terakhir daripada bulan Ramadan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW apabila masuk 10 malam terakhir Ramadan akan mempersiapkan diri secara fizikal dan mental bagi melipatgandakan amal ibadat. Malangnya, tidak semua orang Islam berjaya menamatkan Ramadan dengan cemerlang. Ibarat berada dalam perlumbaan maraton, ada yang cedera dan gagal sampai ke garisan penamat.
Malangnya, rutin ibadat termasuk solat tarawih pada 20 hari pertama Ramadan tidak kekal. Ramai yang tewas dek godaan nafsu sama ada nafsu malas atau nafsu membeli-belah. Akhirnya mereka gagal bertahan untuk menunaikan solat tarawih dan pelbagai ibadat sunat lain.
Disebabkan umur umat akhir zaman ini antara 60 ke 70 tahun, maka Allah SWT menganugerahkan lailatulqadar kepada kita supaya boleh meraih sebanyak mungkin pahala dan ganjaran bagi menyamai atau lebih daripada umat-umat terdahulu yang usia mereka mencecah ratusan tahun.
Oleh itu, orang mukmin tidak harus melepaskan peluang melipat gandakan ibadat pada 10 malam terakhir Ramadan. Paling tidak, kekal berjemaah bersama imam bermula solat isyak hingga witir. Tidak kiralah berapa rakaat yang imam buat, berazamlah berjemaah hingga selesai. Ia bertujuan mengejar fadilat qiamulail seluruh malam.
Bagi yang membeli-belah waktu malam, diharap mereka solat tarawih berjemaah bersama ahli keluarga di rumah masing-masing. Bukan susah nak solat tarawih di rumah. Paling sikit, tunaikan lapan rakaat dan tiga witir. Bacalah surah-surah pendek yang kita hafal. Barulah dapat nikmat dunia (baju raya) dan juga ganjaran di akhirat.
Pendek kata, jangan libatkan diri dengan aktiviti-aktiviti ‘keduniaan’ yang boleh menjejaskan tumpuan kita membuat pecutan terakhir beribadat. Yang terbaik, khususkan 10 malam terakhir ini untuk solat tarawih, banyak baca al-Quran, bersedekah, qiamulail, berzikir dan memohon keampunan Allah.
Antara doa yang dianjurkan oleh nabi SAW kepada Saidatina Aishah apabila bertemu lailatulqadar adalah “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan menyukai orang yang memohon ampun, maka ampunilah aku.” (Riwayat At-Tirmidzi)
Dalam beribadat, jangan kita lupakan ahli keluarga kita. Bagi suami, ajak isteri dan anak-anak sama-sama qiamulail sebagaimana yang ditunjukkan oleh baginda SAW. Mari kita memperbanyakkan sedekah dan berazam tiada hari berlalu tanpa sedekah pada 10 terakhir Ramadan.
Sedekah yang terbaik adalah dalam bulan ini. Malah Allah SWT memberi jaminan menerusi firman-Nya yang bermaksud: ..Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya. (Saba’: 39)











