KOTA BHARU 25 Mei – Seramai 20 anak-anak yatim dari Madrasah Qiraati Ar-Rahmaniah, Pengkalan Kubur, Tumpat berbuka puasa bersama Kelab Persekutuan Accord Kelantan (KAFC) di Restoran Ikan Bakar Tok Abah di sini petang ini.
Penasihat KAFC, Dr. Mohamad Ibariyah Iberahim berkata, majlis tersebut julung kali dianjurkan dan bertujuan meraikan anak-anak yatim di samping berkongsi kegembiraan bersama mereka di bulan Ramadan.
Katanya, biarpun sederhana, majlis itu berseri dengan senyuman yang terukir di wajah anak-anak yatim tersebut.
“Kita mahu meraikan mereka dengan cara istimewa, selain mahu kegembiraan yang kita ada ini dikongsi bersama dengan mereka yang benar-benar memerlukan.
“Pihak KAFC bercadang untuk menjadikan program ini sebagai aktiviti tahunan kelab,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut malam ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Madrasah Qiraati Ar-Rahmaniah, Ahmad Ashraff Jaafar. – UTUSAN ONLINE











