Hampir setiap tahun menjelang Aidilfitri pasti berlaku kemalangan berpunca daripada permainan mercun atau bunga api. Lazimnya melibatkan kecederaan kanak-kanak terutama pada bahagian mata.
Walaupun bahan letupan itu diklasifikasikan sebagai bahan letupan berkuasa rendah namun risiko pembakaran dan kecederaan haba terhadap mata adalah tinggi.
Ini kerana bahan kimia seperti sulfur (belerang), plumbum, kadmium, tembaga, magnesium hidroksida, nitrat dan nitrit yang terkandung di dalam mercun adalah berbahaya dan mudah terbakar.
Kecederaan mata akibat mercun boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu kecederaan mata berpunca daripada kesan haba (thermal injury) contohnya kesan terbakar atau melecur pada kulit, kelopak mata, konjunktiva dan kornea.
Sementara itu kecederaan mata berpunca daripada impak mekanikal (mechanical injury) adalah seperti pecah bola mata (eye globe rupture), kecederaan tertusuk (perforating), bendasing intraokular selain kesan kecederaan tumpul seperti pendarahan dalam mata, katarak dan keradangan.
Kecederaan berpunca daripada bahan kimia (chemical injury) pula melibatkan tindak balas kimia kandungan mercun yang terbakar ke atas permukaan mata seperti konjunktiva dan kornea. Ia turut boleh merosakkan struktur dalaman mata.
Dalam pada itu kecederaan mata akibat mercun boleh berlaku secara kombinasi iaitu kecederaan yang terdiri daripada kecederaan tumpul (blunt injuries), kecederaan tertusuk (perforating) dan kecederaan akibat bahan kimia dan haba (thermal injury).
Majoriti pesakit (60 peratus) mengalami kesan terbakar manakala 40 peratus pesakit mengalami kecederaan yang lebih serius (pecah bola mata) akibat letupan itu sendiri.
Kecederaan kombinasi akan mengakibatkan kecederaan mata menjadi lebih teruk dan boleh menyebabkan penglihatan terhad dan kebutaan kekal. Sebarang kecederaan akibat mercun memerlukan rawatan kecemasan.
Tindakan perlu dilakukan jika berlaku kecederaan mata akibat mercun:
- Bertenang dan jangan panik.
- Bawa mangsa kecederaan mercun ke jabatan kecemasan hospital atau klinik yang terdekat.
- Jangan cuci atau sapu apa-apa ubatan pada bahagian mata.
- Elakkan daripada memberi tekanan pada struktur mata.
- Sebaiknya, hentikan pengambilan makanan atau minuman kerana mangsa mungkin terpaksa menjalani pembedahan kecemasan yang memerlukan pesakit berpuasa sebelum diberikan ubat bius am.
Rawatan untuk kecederaan mata akibat bunga api atau mercun adalah bergantung kepada jenis dan tahap kecederaan. Kecederaan mata berpunca daripada kesan haba iaitu kesan terbakar dan melecur pada kulit pada kelopak mata boleh dirawat dengan salap antibiotik untuk mengelakkan jangkitan kuman. Dalam pada itu kecederaan kecil pada konjunktiva dan kornea mempunyai peluang yang baik untuk sembuh sepenuhnya.
Kecederaan jenis ini akan pulih sendiri namun perlu disokong dengan ubat titis mata yang mengandungi antibiotik bagi mengelakkan jangkitan kuman. Namun kecederaan yang lebih serius adalah sukar untuk pulih dan berkemungkinan memerlukan pemindahan kornea.
Kecederaan mata berpunca daripada impak mekanikal yang paling serius ialah pecah bola mata (eye globe rupture). Adakalanya, bendasing seperti serpihan atau kelongsong mercun dijumpai tertusuk di dalam bola mata. Pesakit perlu menjalani pembedahan dengan segera untuk mengeluarkan bendasing dan membaik pulih struktur mata yang pecah.
Sungguhpun begitu, pesakit perlu menerima hakikat dalam kes sebegini fungsi penglihatan yang terjejas adalah sukar untuk dipulihkan dan boleh menyebabkan kebutaan. Pesakit juga boleh mengalami pendarahan dalam bola mata.
Pendarahan ini boleh pulih dalam jangka masa tertentu tetapi komplikasi seperti peningkatan tekanan bola mata perlu dipantau untuk mengelakkan kerosakan mata menjadi lagi teruk. Dalam keadaan tertentu, pendarahan dalam mata juga mungkin memerlukan pembedahan.
Kecederaan berpunca daripada bahan kimia seperti percikan bunga api yang mengandungi magnesium hidroksida memberikan kesan alkali pada permukaan mata. Rawatan kecemasan perlu dilakukan dengan mengalirkan air yang banyak untuk mengurangkan kesan alkali.
Sebarang bendasing yang melekat pada kornea dan konjunktiva perlu dibuang sepenuhnya. Seterusnya ubat titis mengandungi antibiotik dan antiradang perlu diberikan kepada pesakit.
Komplikasi dan Prognosis
Majoriti pesakit akan mengalami kesan terbakar pada kulit sekitar mata, kelopak mata dan juga kornea. Kesan terbakar boleh meninggalkan parut pada kelopak mata dan menyebabkan kesukaran untuk menutup mata dan seterusnya menyebabkan kornea terdedah.
Sekiranya ini terjadi, kornea akan mudah menjadi kering dan berisiko tinggi untuk menyebabkan iritasi dan luka. Akhirnya boleh mendapat jangkitan kuman yang boleh mengakibatkan kebutaan.
Sekiranya kecederaan yang dialami oleh pesakit lebih serius seperti pecah bola mata, pembedahan perlu dijalankan untuk membaik pulih struktur mata tetapi tahap penglihatan adalah sukar untuk dipulihkan. Keadaan bola mata juga mungkin akan beransur mengecut (pthysis bulbi) dengan peredaran masa.











