Semangat berpasukan tinggi kunci kejayan Terengganu - Utusan Malaysia

Semangat berpasukan tinggi kunci kejayan Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 25 Mei – Pemangku jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain memuji semangat berpasukan tinggi yang ditunjukkan anak-anak buahnya yang menjadi kunci kejayaan pasukan itu menundukkan Selangor 1-0 pada aksi Liga Super malam tadi.

Gol tunggal Terengganu ‘dihadiahkan’ oleh kapten Selangor, K. Sarkunan apabila dia tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-90 perlawanan dalam usahanya mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.

Kemenangan tipis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu juga sekali gus menamatkan badi tiga perlawanan tanpa kemenangan skuad Penyu dan meleburkan rekod Selangor yang tidak pernah tewas di laman lawan dalam kesemua enam aksi di tempat lawan pada musim ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kunci kemenangan kita adalah pemain yang telah berikan komitmen, usaha keras, disiplin serta semangat untuk menang. Sumbangan saya selaku jurulatih hanya 10 peratus sahaja, 90 peratus lagi datang daripada pemain itu yang betul-betul bermain sebagai satu pasukan.

“Jadi sama ada kita menang tipis atau besar tidak menjadi hal kerana yang penting kita mampu mengutip tiga mata berharga,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Selangor, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, Nafuzi yang baru sahaja mengambil alih tugas ketua jurulatih dua minggu lalu mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diatasi pemain di semua posisi dalam usaha meningkatkan prestasi Terengganu.

Bagi beliau, tidak ada satu pasukan yang sempurna dan ia memerlukan setiap pemain sentiasa memperbaiki kelemahan serta kekurangan yang ada.

“Kita akan analisis di mana kesilapan dan kekurangan kita untuk atasi kelemahan yang ada,” katanya yang berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan anak-anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan.

Dengan tiga mata tersebut, Terengganu FC berjaya melonjak ke kedudukan kelima selepas mengumpul 20 mata, manakala Selangor kekal di tempat keempat dengan 22 mata selepas 15 perlawanan.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini