MADRID 25 Mei – Lionel Messi mahu Ernesto Valverde terus membimbing Barcelona, namun mengakui mereka masih belum sembuh daripada kekecewaan dikalahkan Liverpool menjelang pertembungan dengan Valencia dalam perlawanan akhir Copa del rey, hari ini (esok pukul 3 pagi waktu Malaysia).
Selepas memenangi La Liga menerusi kelebihan 11 mata, Barca mampu melengkapkan kejayaan berganda dengan menumbangkan Valencia di Seville, namun itu semua tidak mampu mengesat air mata mereka setelah diaibkan Liverpool dalam aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara di Anfield awal bulan ini.
Valverde mengakui masa depannya bersama Barca akan kelam, namun presiden kelab, Josep Maria Bartomeu berkata, jurulatih tersebut akan kekal di Camp Nou.
“Saya sejujurnya percaya bos kami telah melaksanakan tugas dengan baik sepanjang mengendalikan Barca.
“Saya fikir kekalahan ke atas Liverpool, dia dipersalahkan, kami dipersalahkan hanya kerana satu perlawanan itu.
“Ia boleh berlaku dalam setahun, namun jika berlaku selepas ini, ia sukar dimaafkan. Bos akan menjadi sebahagian daripada kesalahan, tetapi pemain selalunya lebih banyak.
“Saya mahu dia terus menerajui kami. Tahun lalu, kami berjaya meraih kejayaan domestik berganda sekali un tersingkir daripada Liga Juara-Juara, malah tahun ini juga kami berupaya memenangi kejayaan domestik berganda lagi.
“Jika anda melihat dalam tempoh dua tahun itu, terdapat dua perlawanan buruk, bagaimanapun di sebalik dua itu, aksi yang lain kami sangat bagus,” kata Messi.- AFP











