Projek Baju Raya ceriakan 110 penerima - Utusan Malaysia

Projek Baju Raya ceriakan 110 penerima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 25 Mei – Seramai 110 orang terdiri daripada golongan asnaf dan anak yatim di sekitar daerah ini hari ini menerima sumbangan sempena program Ziarah Prihatin Aidilfitri Projek Baju Raya sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Program tersebut dianjurkan Persatuan Alumni Graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Yayasan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Pejabat Ahli Parlimen Kuantan, Ikram Muda Pahang, Gema Pahang dan Unit Perhubungan Alumni Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP.

Para penerima yang berusia antara lima hingga 17 tahun itu dibawa membeli baju raya di sebuah pusat beli-belah di sini yang mana mereka dibenarkan memilih sendiri pakaian dengan baucar RM100.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka diiringi Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin; Yang Dipertua Ikram negeri, Suhaimi Mohd. Aripin dan Timbalan Presiden Persatuan Alumni UMP, Mohd. Najib Razali.

Program bermula pada pukul 9 pagi melibatkan seramai 50 sukarelawan terdiri daripada alumni, staf dan mahasiswa UMP serta wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Yuserrie berkata, program itu sebagai menyokong projek MyGift UMP yang dijalankan dalam usaha membantu komuniti setempat dan menggerakkan agenda kesukarelaan dalam kalangan alumni serta mahasiswa universiti itu.

“Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban dan membolehkan penerima merasai nikmat berhari raya dengan lebih bermakna serta menyemarakkan keindahan Ramadan serta menjelangnya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Menurut Yuserrie, dalam berkongsi kegembiraan, beliau berharap golongan kurang berkemampuan itu dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan keceriaan.

“Mereka berhak berkongsi kegembiraan, sebab itu kami usahakan yang terdaya untuk membantu mereka. Kami juga menghargai sumbangan daripada individu dan NGO yang sama-sama menjayakan program ini,” katanya.

Sementara itu, Fuziah berkata, program seperti itu dapat meringankan beban keluarga para penerima melakukan persiapan menyambut Aildilfitri.

“Masih ada lagi yang memerlukan bantuan seperti ini dan kita sedang berusaha membantu mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini