Bomba kesan 19 lokasi panas kes lemas - Utusan Malaysia

Bomba kesan 19 lokasi panas kes lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Sempena cuti umum Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati di 19 lokasi panas perkelahan yang dikesan berisiko tinggi berlaku kejadian mati lemas.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Muhammad Hamdan Wahid berkata, senarai lokasi itu membabitkan kawasan-kawasan perkelahan di seluruh negara terutamanya di Pantai Timur.

Katanya, pihaknya juga mengesan 39 lokasi panas perkelahan berisiko sederhana termasuk di sungai, tasik, lombong, air terjun dan empangan berdasarkan rekod kekerapan kelemasan dalam tempoh tiga tahun sejak 2016.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Antara kawasan perkelahan yang berisiko tinggi termasuk Pantai Nipah, Kelantan; Air Terjun Lata Berembun dan Air Terjun Chamang di Pahang, Air Terjun Sekayu, Terengganu; pantai Port Dickson, Negeri Sembilan; Pantai Pertak, Selangor dan Pantai Puteri, Melaka.

“Sebanyak 19 lokasi ini dikesan merekodkan jumlah kemalangan mati lemas tinggi dengan kekerapan lima kes dalam tempoh tiga tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Ramadan JBPM 2019 di Bukit Katil di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini beberapa pasukan JBPM akan ditempatkan di lokasi-lokasi berisiko tinggi yang terlibat untuk rondaan keselamatan secara berkala.

Katanya, langkah itu juga dibuat bagi mengurangkan masa kerja-kerja penyelamatan sekiranya berlaku kemalangan lemas.

“Bagi memastikan keselamatan orang ramai, kita juga hanya membenarkan 20 peratus daripada lebih 14,000 pegawai dan anggota bomba di seluruh negara bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini