JERANTUT – Sebanyak 25 jenis colek menjadi tarikan di Kedai Makan Norsai, di sini sebagai kudapan malam selepas selesai menunaikan solat Tarawih sepanjang bulan Ramadan.
Kedai milik Norsaizatul Ahkma Saidi, 27, mula beroperasi pada pukul 6.30 petang sehingga 1 pagi menyediakan pelbagai sajian colek yang lazat dan enak.
Norsaizatul Ahkma berkata, dia hanya menjual aneka colek itu pada bulan Ramadan kerana tidak berniaga nasi berlauk seperti biasa pada waktu pagi.
“Sebenarnya kami mula menjual colek pada 2015 dengan membuat percubaan beberapa jenis makanan sahaja namun tidak menyangka ia mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Colek adalah makanan sinonim dengan orang Kelantan namun ia kini sudah sebati dengan penduduk di daerah ini tanpa mengira kaum,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Menurutnya, colek perut, ayam, ikan dan buah paling laris dikedainya setiap malam namun ada juga yang memilih udang dan ketam.
“Colek perut dijual dengan harga RM6, kerang (RM6), buah (RM5) dan Ayam (RM7) manakala makanan laut mengikut harga semasa,” ujarnya.
Dia memberitahu, kedai yang diusahakan bersama suaminya, Hanapi Harun, 32, dan ibunya
Noraini Mohamad, 48, akan beroperasi sehingga 31 Mei ini sebelum mereka pulang ke Kota Bharu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. – K! ONLINE











