KUALA LUMPUR 24 Mei – Sindiket curi kenderaan model lama yang aktif di sekitar Ampang dikenali sebagai Geng Pamben tumpas selepas tiga suspek termasuk dalangnya diberkas dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada Jumaat lalu.
Siasatan terhadap tiga suspek berusia 36 hingga 40 tahun itu mendapati hasil jualan kereta curi tersebut akan digunakan mereka untuk menyara keluarga dan membeli dadah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintenden Mohd. Zaid Hassan berkata, serbuan pertama di kawasan Salak Selatan membawa kepada penangkapan dua suspek manakala suspek ketiga ditahan dalam serbuan kedua di sebuah rumah di kawasan Ampang.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menyasarkan kenderaan model lama tanpa sistem penggera yang diletakkan di kawasan perumahan tanpa pengawal dan tepi jalan.
“Antara kereta yang menjadi sasaran ialah kereta jenis Proton Saga, Iswara, Wira dan Waja.
Komponen kenderaan itu akan dileraikan lalu dijual kepada pembeli dengan harga kira-kira RM3,000 hingga RM5,000.
“Sindiket itu didapati aktif sejak Mac lalu, namun suspek utama berusia 39 tahun terlibat dalam kegiatan curi kenderaan sejak 2015 dan pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Zaid memberitahu, polis merampas semula tujuh buah kereta serta lori yang dilaporkan hilang di sekitar Ampang, Pandan Indah serta Salak Selatan.
“Kesemua suspek yang ditahan merupakan penganggur. Suspek utama sindiket didakwa mempunyai 24 rekod lampau manakala suspek berusia 40 tahun mempunyai 19 rekod lampau. Kedua-dua mereka juga penjenayah dikehendaki,” jelasnya.
Tambah Mohd. Zaid, suspek ketiga berusia 36 tahun pula, mempunyai 16 rekod lampau. Selain itu, hasil ujian air kencing mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis syabu.
“Kesemua suspek direman sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











