Skuad kanu, TBR dapat ‘pemanas badan’ bertaraf dunia - Utusan Malaysia

Skuad kanu, TBR dapat ‘pemanas badan’ bertaraf dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Mei – Skuad kanu dan lumba bot tradisional (TBR) negara mempunyai dua medan ‘pemanas badan’ yang berkualiti sebagai persediaan dalam menghadapi Sukan SEA Ke-30 di Filipina, November ini.

Kejohanan Kanu Pecut Dunia di Hungary dari 19 hingga 25 Ogos ini dan Piala Dunia TBR di Ningbo, China (4 November) bakal menggamit dan menguji kemantapan kedua-dua skuad ini, kata Presiden Persatuan Kanu Malaysia (Masca), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin.

“Masca juga menyenaraikan Kejuaraan Kanu Pecut Asia Tenggara di Pattaya, Thailand dari 18 hingga 23 Jun ini sebagai satu lagi pentas ujian terbaik atau mirip Pra-Sukan SEA.

“Kejuaraan itu turut penting dan menjadi sebahagian penilaian dalam memuktamadkan skuad negara pada sirkit kedua kebangsaan di Teluk Bahang, Pulau Pinang, 6 Julai ini,” katanya pada majlis berbuka puasa dengan media di sini, semalam.

Katanya, skuad kanu kini tampak mungkin mampu menyandarkan harapan kepada gandingan Ani Ayuni Azwan/Nusaibah Syahida Ibrahim dan Ahmad Shafiee Abdul Jabar/ Aimi Ayuni Azwan.

“Baru-baru ini dalam Kejohanan Kanu Pecut Antarabangsa Bhopal, kedua-dua gandingan ini beroleh pingat gangsa dan perak,” katanya.

Sementara itu katanya, Masca berharap sukan itu akan memjadi sukan teras pada masa depan sekali gus melonjakkan semangat atlet untuk meraih keputusan yang lebih baik selain bertekad membawa persatuan sebagai ahli gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Walaupun hampir kebanyakan kos penyertaan atlet menggunakan wang poket saya sendiri ketika ini, setiap atlet diharap dapat membuktikan sesuatu dan membuka mata banyak pihak selepas ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×