Maik serah zakat RM140,000 kepada tujuh IPT - Utusan Malaysia

Maik serah zakat RM140,000 kepada tujuh IPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 23 Mei – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menyerahkan zakat berjumlah RM140,000 kepada tujuh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri ini.

Pengurnian zakat kepada setiap wakil IPT itu telah disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra semasa Majlis Iftar dan Solat Tarawih bersama Pimpinan Pelajar IPT, Pelajar Maahad Tahfiz al-Quran dan Darul Aitam Maik di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Panji di sini semalam.

Setiap tujuh IPT terbabit iaitu Universiti Malaysia Kelantan (UMK); Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang; Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM); Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM); Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias); Politeknik Kota Bharu (PKB) dan Kolej Matrikulasi Kelantan (KMKt) masing-masing menerima zakat sebanyak RM20,000 untuk diagihkan kepada pelajar asnaf di kampus mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdahulu, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra telah berkenan berbuka puasa bersama hampir 500 tetamu di dewan kompleks berkenaan sebelum menunaikan solat sunat tarawih berjemaah.

Yang turut hadir, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi.

maik
 

Sementara itu, Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar KMKt, Muhammad Hazim Mohd Rohaizad, 19, berkata, bantuan zakat berkenaan tepat pada waktunya kerana pelajar-pelajar baharu yang mendaftar masuk pada awal bulan ini hanya akan mula menerima elaun bulanan tetap mereka sebanyak RM250 pada Julai hadapan.

“Sementara menunggu elaun dari Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan itu masuk, sudah tentu pelajar baharu akan berada dalam kesempitan bagi tempoh dua bulan ini,”

“Jumlah keseluruhan pelajar KMKt adalah kira-kira 1,950 orang dan pelajar matrikulasi di sini sebenarnya antara yang paling ramai berasal dari keluarga kurang berkemampuan berbanding kolej matrikulasi lain,” katanya.

Muhammad Hazim berkata, antara usaha dilakukan pihaknya untuk meringankan beban adalah berunding dengan pihak kafeteria kolej supaya dapat menaja makanan pelajar miskin.

“Ada empat buah kafeteria dalam kolej dan kami minta setiap daripada pengusahanya menaja makanan kepada 10 hingga 15 orang pelajar sama ada dua atau tiga kali sehari.

“Perkara ini sudah kita laksanakan sejak tahun lalu, kita dapati ada pelajar yang hanya mampu mengalas perut dengan makan nasi sekali sehari sahaja itupun pada waktu petang supaya dapat bertahan sehingga keesokannya,” katanya.

Dalam pada itu, Exco Keusahawanan, Perniagaan dan Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMK, Amal Fakhri Zainol Abidin, 21, pula berkata, lebih 75 peratus iaitu 6,382 orang daripada 8,500 pelajar UMK terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Amal Fakhri berkata, bilangan itu termasuklah golongan asnaf dan pelajar perempuan merupakan majoriti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini