SINGAPURA 22 Mei – Singapura bersetuju untuk menggantung pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan antara Johor Bahru dan Singapura sehingga 30 September ini atas permintaan Malaysia.
Lapor Channel News Asia, Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan dalam perjanjian tambahan (SA) yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak memberitahu, Malaysia juga menyatakan persetujuan untuk membayar balik sebanyak SGD600,000 (RM1.8 juta) kepada republik itu sebagai kos kegagalan yang ditanggung akibat penggantungan berkenaan.
“Persetujuan bersama ini dicapai selepas beberapa perbincangan antara Malaysia dan Singapura,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama rakan sejawatnya dari Malaysia, Anthony Loke.
Projek RTS yang menghubungkan antara Bukit Chagar (Johor Bahru) dan Woodlands (Singapura) mampu menampung pergerakan kira-kira 10,000 pengguna setiap jam antara kedua-dua negara.
Boon Wan berkata, dalam tempoh tersebut Malaysia masih diberi ruang sekiranya mahu meneruskan kembali atau memberi pandangan mengenai sebarang perubahan dalam projek itu.
“Bagaimanapun kita berharap, projek RTS akan diteruskan pada penghujung tempoh penggantungan, seperti yang diputuskan dalam perjanjian atau dengan sebarang perubahan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” katanya.
Sekiranya Malaysia memilih untuk menamatkan projek RTS, Putrajaya perlu menanggung kos lebih daripada SGD66 juta (RM200 juta).
Ditanya mengenai kos penangguhan SGD600,000 (RM1.8 juta), Boon Wan menjelaskan, kos tersebut tidak akan dikembalikan jika projek itu diteruskan semula kerana kos tersebut terpaksa ditanggung Singapura sebagai bayaran tapak pembinaan di Woodlands Utara. – AGENSI










