KUALA LUMPUR 21 Mei – Tan Ing Yueh melakar kejutan apabila meraih pingat gangsa dalam aksi pembukaan Cabaran Piala Dunia (WCC) 2019 di Zhaoqing, China, hari ini.
Memenangi pingat gangsa mungkin bukan perkara besar buat gimnas berusia 23 tahun itu kerana dia pernah menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara batang titian pada 2016, namun kejayaan kali ini cukup istimewa kerana Ing Yueh mengetepikan cabaran sengit peserta China.
Ing Yueh mengumpul 12.650 mata untuk menduduki tangga ketiga di belakang gimnas China, Yu Linmin yang merangkul pingat emas menerusi 14.625 mata manakala perak milik peserta Uzbekistan, Oksana Chusovitina (14.325 mata).
Seorang lagi gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi (11.700) menamatkan acara yang sama di tangga keempat.
Dalam saingan palang sejajar, Farah Ann menamatkan saingan sebagai peserta terbaik Malaysia dengan menduduki tempat keenam, diikuti Rachel Yeoh Li Wen ketujuh.
Bagi aksi lelaki pula, Jeremiah Loo menduduki tempat kelima acara senaman lantai dan ketujuh dalam kekuda pelana, sementara Tan Fu Jie berada di tempat keenam untuk kekuda pelana.
Kejohanan di Chongqing merupakan pusingan pertama daripada Cabaran Piala Dunia yang berlangsung tahun ini, namun, Malaysia hanya mengambil bahagian dalam pertandigan di sini.
Lebih 50 atlet gimnastik dari 11 negara mengambil bahagian pada kejohanan tahunan itu.
Selepas China, pertandingan akan berlangsung di Osijek, Croatia dari 23-26 Mei; Koper, Slovakia (30 Mei-2 Jun); Mersin, Turki (30 Ogos-1 September), sebelum berakhir dengan tiga peringkat pada September di Szombathely, Hungary (6-8 September); Paris, Perancis (14-15 September) dan Guimaraes, Portugal dari 19-22 September.











