BANGKOK 21 Mei – Ekonomi Thailand berkembang pada paras paling perlahan dalam tempoh empat tahun pada suku pertama tahun ini berikutan peningkatan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan kelembapan ekonomi yang menjejaskan eksport.
Setiausaha Agung Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Nasional (NESDC), Thosaporn Sirisumphand berkata, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku pertama 2019 berada pada 2.8 peratus berbanding 3.6 peratus pada tempoh yang sama 2018.
Beliau berkata, Thailand mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi 2019 kepada antara 3.3 dan 3.8 peratus daripada 3.5 dan 4.5 peratus berikutan kelembapan perdagangan global dan keadaan politik negara yang tidak menentu selepas pilihan raya umum pada 24 Mac.
“Kerajaan baharu akan menamatkan keadaan tidak menentu dalam negara dan mempercepatkan pengeluaran bajet pelaburan serta rundingan perdagangan. Kerajaan baharu akan menangani isu-isu berkaitan dengan ketegangan perdagangan antara AS dan China.
“Pertumbuhan dalam separuh kedua dijangka bertambah baik kerana persekitaran perdagangan global dijangka pulih,” katanya pada taklimat media di sini hari ini.
Keadaan politik yang tidak menentu terus meningkat apabila parti-parti politik bergelut untuk membentuk kerajaan baharu, dua bulan selepas pilihan raya pertama diadakan sejak rampasan kuasa Thailand pada 2014.
Agensi perancangan ekonomi itu berkata pelaburan swasta meningkat 4.4 peratus dan pelaburan awam turun 0.1 peratus pada suku pertama 2019.
Bagi eksport dan import barangan dan perkhidmatan, data NESDC menunjukkan kedua-duanya turun masing-masing kepada 4.9 peratus dan 0.2 peratus, berbanding kenaikan 0.7 peratus dan 5.7 peratus pada suku sebelumnya.
Data juga menunjukkan sektor pertanian berkembang sebanyak 0.9 peratus, meningkat sedikit daripada peningkatan 0.7 peratus dalam suku sebelumnya, manakala sektor bukan pertanian naik sebanyak 3.0 peratus, susut daripada peningkatan 4.0 peratus pada suku keempat 2018. – BERNAMA











