MERSING – Mercun dan bunga api yang dipercayai dijadikan stok untuk dijual di bazar Ramadan dan tepi jalan di sekitar daerah ini berjaya dirampas polis dalam serbuan di sebuah hotel di daerah ini Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, dalam serbuan pada pukul 11.30 pagi itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 30-an yang menjadi dalang kepada sindiket tersebut.
Katanya, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan menyimpan barang larangan di sebuah stor dan mengeluarkan sedikit demi sedikit untuk dijual di tepi jalan atau pasar malam termasuk di bazar Ramadan sekitar kawasan ini.
“Siasatan terhadap suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu kemudiannya membawa kepada penemuan sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan rokok seludup pada pukul 12.15 pagi, Jumaat lalu.
“Kesemua terdiri daripada 18 jenis mercun dan 16 jenama rokok tanpa cukai yang diseludup dari negara jiran berlainan dengan anggaran rampasan bernilai RM173,685,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE











