JITRA – Seorang lelaki warga Thailand cedera parah akibat ditetak tiga lelaki sehingga pergelangan tangan kanannya putus di sebuah rumah di Kampung Changkat Setoi, Changlun dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa dikenali sebagai Mayaki, 36, dari Pattani, Thailand turut ditetak pada tangan kiri sehingga hampir putus selain pada kepala, pinggang dan kaki.
Mangsa yang bekerja sebagai penoreh getah kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama isteri dan dua anaknya sedang berehat di dalam rumah.
“Isteri mangsa mendakwa terdapat empat lelaki menaiki motosikal ke rumah mereka sebelum tiga suspek memecah masuk dengan menendang pintu hadapan rumah.
“Tiga lelaki yang memakai topeng itu terus menyerang suaminya dengan menetak mangsa dengan parang dan kejadian berlarutan sehingga ke luar rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, isteri mangsa berusia 33 tahun dan dua anak lelaki yang berusia lapan dan 13 tahun cuba ditetak namun mereka berjaya melarikan diri ke kawasan kebun getah berhampiran.
“Wanita itu mengalami luka pada tangan kanan ketika cuba menahan daripada ditetak salah seorang suspek,” ujarnya.
Menurut Mohd. Ismail, siasatan di lokasi kejadian dilakukan termasuk menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan tangan suspek yang terputus, namun tidak ditemui.
“Tangan mangsa yang terputus itu kemungkinan dibawa lari oleh suspek,” ujarnya.
Kata beliau, isteri mangsa mendakwa sebelum kejadian, ada seorang lelaki dikenali sebagai Bob datang ke rumah kerana tidak berpuas hati apabila suaminya tidak menolong individu itu untuk ‘upgrade’ motosikalnya supaya menjadi laju.
“Mangsa dikatakan membuat kerja sambilan membaiki motosikal di kawasan tersebut,” katanya.
Tambahnya, pihaknya sedang giat mengesan kesemua suspek terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











