JOHOR BAHRU 21 Mei – Luaskan selera anda dengan menikmati lebih 100 sajian tradisional dan moden ditawarkan menerusi Buffet Ramadhan di Savanna Hill Resort, Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram dekat sini.
Antara menu istimewa antaranya Kambing Kuzi sumbat, ikan bakar garam kunyit, durian goreng, gulai kawah, rojak Batam, sup gerbox, sate, Nasi Goreng Seafood Daun Pisang dan Lempeng Batak dengan harga bermula dari RM28 seorang.
Menurut Pengurus Besarnya, Mohd. Nazar Mohd. Noor, Buffet Ramadhan Savanna Hill Resort amat istimewa kerana menggabungkan banyak hidangan kegemaran hasil daripada resipi klasik dan turun-temurun termasuk resepi-resepi masakan terkini.
“Istimewanya juadah seperti kambing golek, durian goreng, Nasi Goreng Seafood, lempeng batak, jemput-jemput, tempeyek dan tumpi, ubi rebus, gulai kawah, sate, bakar ikan dan udang selain sup gearbox dimasak secara live sebelum berbuka puasa.

“Ini bagi memberikan kelainan dan pengunjung boleh merasai sendiri juadah disediakan itu menerusi stesen-stesen yang disediakan. Pengunjung boleh menikmati juada dalam suasana santai kawasan kampung dengan bukti dan alam semula jadi,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, Buffet Ramadhan Savanna Hill Resort menawarkan harga RM88 bagi dewasa, warga emas (RM48) dan kanak-kanak (RM28) bermula dari pukul 6.30 petang hingga 9.30 malam dari 10 Mei hingga 2 Jun ini.
Jelasnya, bagi pembelian untuk empat orang akan diberikan satu percuma manakala pembelian lapan orang akan mendapat dua percuma.
“Kita juga menyediakan kemudahan surau dengan ruangan tempat letak kereta luas khas untuk pengunjung yang datang untuk berbuka puasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE











