IPOH – Semua pihak diminta mematuhi peraturan melarang pembinaan menara pemancar telekomunikasi di atas bumbung bangunan sepertimana diputuskan oleh kerajaan negeri baru-baru ini.
Mesyuarat Penasihat Infrastruktur Telekomunikasi negeri pada 16 Mei lalu memutuskan perkara berkenaan dan sebaliknya perlu didirikan di atas tanah.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim berkata, sehubungan itu pihaknya akan meminta syarikat telekomunikasi untuk mematuhi peraturan tersebut.
Menurut beliau, keputusan itu juga dibuat bagi mengawal supaya tiada lagi menara pemancar haram dibina di atas bangunan.
“Dengan peraturan baharu itu, mudah untuk kita memantau tetapi perlu juga merujuk kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) misalnya melibatkan aspek tenikal.
“Bagaimana pun, bagi pihak kerajaan negeri kita telah memutuskan tiada lagi menara yang akan dibina di atas bumbung bangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak di Laman Seri Ridzuan di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, kata Hasnul Zulkarnain, perkara itu bagaimana pun tiada kaitan dengan bantahan penduduk atau mana-mana pihak yang dilakukan sebelum ini.
Jelas beliau, pihaknya tidak menolak lebih banyak menara pemancar telekomunikasi akan dibina bagi keperluan perhubungan tetapi hendaklah mengikut garis panduan ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Kosmo! pada 16 Mei lalu melaporkan, kira-kira 500 orang penduduk Taman Pusat Bercham di sini membantah tindakan pihak tertentu mendirikan pemancar telekomunikasi di Jalan 74 Hala Tasek Timur 1 yang berada kurang 30 meter daripada kawasan kediaman.
Mereka bimbang pembinaan menara setinggi 30 meter itu memberi impak kepada kesihatan orang ramai disebabkan terdedah dengan risiko kesan radiasi. – K! ONLINE











