KLANG 21 Mei-Seramai 213 anak yatim dan ibu tunggal yang berada di kawasan Dewan Undangan (DUN) Selat Klang telah menerima sumbangan bagi menyambut Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang yang juga Ecxo Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Rashid Asari dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Darul Muttaqin, Kampung Sungai Udang, Kelang.
“Sumbangan ini adalah satu inisiatif kita untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan menyambut Hari Raya yang bakal tiba tidak lama lagi.
“Kita sebenarnya bertuah kerana berada di sebuah negeri yang makmur dan negara yang aman. Kita harus bersyukur dan sebagai tanda syukur itu, kita jangan sesekali melupakan mereka yang kurang bernasib baik,” ujar beliau.
Sementara itu, pada majlis berasingan, beliau turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 120 orang asnaf yang diadakan di Masjid Al-Falah, Sungai Sireh, Klang.
“Semua program ini telah diatur untuk menyantuni mereka yang kurang berkemampuan di kawasan DUN Selat Klang.
“Saya berharap dengan adanya program sebegini, tidak ada pihak berasa tersisih khususnya ketika semua orang sibuk membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri yang datang setahun sekali.”
“Sehari bersama rakyat di bulan Ramadan al-Mubarak, hilang penat bila melihat rakyat gembira,” ujar beliau yang berharap perayaan Aidilfitri nanti akan menceriakan semua peringkat masyarakat.-UTUSAN ONLINE











