PUTRAJAYA 21 Mei – MyAQSA menyeru masyarakat antarabangsa dan tempatan agar sama-sama membuat desakan serta memberi tekanan supaya Israel benar-benar dapat dibawa ke muka pengadilan.
Ketua Pasukan Peguam Penyiasat/Felo Undang-Undang MyAQSA, Azril Mohd. Amin berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kini di peringkat akhir untuk melengkapkan penyiasatannya terhadap Israel atas dakwaan melakukan jenayah perang dan pelanggaran Resolusi 2334 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
“Pihak ICC memberi jaminan bahawa mereka memerlukan tempoh beberapa bulan sahaja lagi sebelum penyiasatan itu dapat diselesaikan dan pendakwaan secara formal dibuat terhadap Israel,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat MyAQSA di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MyAQSA, Dr. Noorazman Mohd. Samsuddin.
Menurut Azril, delegasi MyAQSA pada 30 April hingga 3 Mei lalu telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil ICC daripada Bahagian Sokongan Guaman, Bahagian Kerjasama Antarabangsa dan Bahagian Analisis Situasi di The Haque, Belanda.
Beliau berkata, walaupun pada awalnya pihak ICC mengakui asas hujah MyAQSA adalah meyakinkan, namun MyAQSA tidak berpuas hati dengan kelewatan penyiasatan yang dijalankan oleh ICC untuk memastikan pendakwaan dapat dilakukan secara rasmi.
Dalam pertemuan itu jelasnya, pihak MyAQSA telah mengemukakan tiga hujah untuk membidas kelewatan ICC dalam aspek berkenaan, pertama, mengenai Resolusi 2334 UNSC yang menjadi asas tindakn MyAQSA.
“Kedua, pihak ICC sendiri telah mengakui menerima pelbagai bukti mengenai kekejaman Israel, bukan sahaja berkaitan pencerobohan di wilayah Palestin, tetapi pembunuhan, pengusiran dan tindakan biadab terhadap penduduk Palestin.
“Ketiga, tempoh empat tahun setelah Palestin menyertai Statut Rom semenjak 1 April 2015, adalah memadai untuk melihat tindakan berkesan ICC dalam menyelesaikan penyiasatan dan memulakan pendakwaan terhadap Israel secara formal. Hal ini sangat menghairankan kerana sebagai sebuah institusi keadilan antarabangsa, ICC sepatutnya menunjukkan contoh kehadapan dalam proses mencari keadilan sejagat,” katanya.
Mengulas lanjut, Azril berkata, MyAQSA tidak berpuas hati dengan alasan kelewatan yang diberikan pihak ICC yang sepatutnya memastikan pihak-pihak pengadu atau mangsa kekejaman mendapat layanan yang adil dan saksama.
Jelas beliau, MyAQSA berpandangan kelewatan ICC itu disebabkan bukan sahaja birokrasi dalamannya, tetapi juga tekanan-tekanan pihak tertentu yaang tidak mahu kebenaran mengenai nasib sebenar rakyat Palestin yang ditindas didedahkan.
Beliau berkata, sebagaimana disarankan oleh ICC, MyAQSA akan meningkatkan kerjasama erat dengan pihak berkuasa Palestin khususnya melalui kedutaannya di Malaysia dan melobi melalui pertubuhan-pertubuhan antarabangsa termasuk Coalition of International Criminal Court (CICC) untuk memastikan proses pendakwaan terhadap Irael dapat dilaksanakan secara berkesan.
Selain itu katanya, hasil pertemuan dengan Wakil Tetap Malaysia ke UNESCO di Paris, Dr. Anesee Ibrahim, MyAQSA akan mengusahakan satu inisiatif baharu supaya Palestin dapat mengemukakan usul di UNESCO untuk mengutuk tindakan pembasmian budaya oleh rejim Zionis Israel ke atas Palestin.
“Negara Palestin dan rakyatnya perlu diberikan hak untuk wujud dengan aman dan adil, manakala Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa perlu kekal menjadi milik umat Islam tanpa sebarang gangguan dan campurtangan Israel,” katanya. – UTUSAN ONLINE











