LONDON 21 Mei – Pep Guardiola percaya Vincent Kompany akan pulang semula ke Manchester City suatu hari nanti dalam kariernya selepas bek tengah itu berhijrah ke Anderlecht sebagai pemain merangkap pengurus.
Kompany telah berkhidmat selama 11 tahun bersama City dan menikmati kejayaan menakjubkan, dengan hanya Liga Juara-Juara masih belum didakap oleh juara Liga Perdana Inggeris itu.
City dilihat bergelut untuk mencari pengganti Kompany yang memiliki pengalaman luas serta berpengaruh, namun Guardiola yakin pemain kebangsaan Belgium itu akan kembali ke Stadium Etihad.
“Sudah tentu kami akan merinduinya (Kompany). Saya akan merinduinya, namun dia perlu berhijrah demi masa depannya dan kemudian akan datang ke sini semula, sama ada dalam tempoh terdekat atau sebaliknya.
“Adalah sesuatu yang menakjubkan untuk mengucap selamat tinggal selepas mengharungi musim yang membanggakan bersama. Dia merupakan kapten sebenar dan banyak membantu kami,” kata Guardiola.- AGENSI











