KUALA LUMPUR 21 Mei – Sembilan daripada 10 majikan dalam negara berdepan dengan cabaran sikap pekerja tempatan yang bermasalah sekali gus menjadi satu daripada punca negara dibanjiri pekerja asing.
Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Mohammad Rizan Hassan yang bimbang dengan sikap negatif pekerja tempatan yang akhirnya merugikan rakyat sendiri.
Katanya, sekiranya pekerja tempatan mempunyai pakej kompeten yang lengkap khususnya daripada segi kemahiran, pengetahuan dan sikap sudah tentu mudah bagi mereka untuk mendapat pekerjaan yang bersesuaian.
“Antara lima sikap popular pekerja tempatan yang menjadi cabaran adalah prestasi kerja yang teruk, tidak mampu bekerja dengan baik dengan orang lain, tidak responsif dalam tunjuk ajar, sukar untuk berubah dan tidak mempunyai rasa tanggungjawab.
“Memang diakui soal gaji minimum masih terus diperjuangkan oleh pekerja tempatan tetapi mereka perlulah mempunyai pakej yang relevan dengan peluang pekerjaan yang ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Rizan berkata, Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan pihak swasta perlu mempersiapkan bakal pekerja berkemahiran dengan pemantapan insaniah yang tinggi bagi menangani sikap negatif pekerja tempatan.
Katanya, penekanan kepada soal komunikasi secara berkesan, kerja berpasukan, budaya pembelajaran berterusan, pemikiran kritis, etika profesional dan pengurusan maklumat amat diperlukan bagi memastikan pekerja tempatan mampu menyesuaikan diri sama ada dalam negara mahupun di luar negara. – UTUSAN ONLINE











