ROM – Bintang tenis Switzerland, Roger Federer dan pemain No. 1 dunia, Naomi Osaka terpaksa menarik diri di pusingan suku akhir Kejohanan Terbuka Itali semalam selepas kedua-duanya mengalami kecederaan seminggu sebelum Kejohanan Terbuka Perancis bermula.
Federer, 37, yang kembali beraksi di gelanggang tanah liat selepas dua tahun, terpaksa menarik diri selepas cedera di kaki kanannya sebelum turun berdepan pemain muda Greek yang sedang meningkat naik, Stefanos Tsitsipas di suku akhir.
“Badan saya masih belum pulih sepenuhnya lagi dan selepas berbincang dengan pasukan saya, mereka menasihatkan saya supaya tidak meneruskan perlawanan,” jelas Federer.
Sementara itu, juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan Terbuka Australia, Osaka memberitahu dia tidak mampu meneruskan saingan di kejohanan ini selepas mengalami kesakitan di bahagian tangannya.
“Saya bangun pagi ini dan rasa kebas di bahagian ibu jari tangan saya. Tangan saya juga sukar bergerak dan begitu juga dengan ibu jari saya. Saya tidak pasti sama ada saya boleh bermain dengan keadaan seperti ini atau tidak.
“Saya cuba capai raket saya dan membuat beberapa hayunan, namun saya berasa sakit di bahagian tangan saya setiap cuba menggerakkannya dari pelbagai arah,” jelas Osaka.
Pemain berusia 21 tahun itu dijadualkan berdepan juara Terbuka Madrid dan pilihan keenam, Kiki Bertens dari Belanda di suku akhir.
Dia memberitahu mungkin akan tinggal sementara di Rom dan tidak menolak kemungkinan terpaksa menarik diri di Roland Garros minggu depan. – AFP











