Selesai menjamu selera, Nurul Amira Zaini, 22, merenung lebihan makanan yang dibeli di bazar Ramadan Kampong Bharu, Kuala Lumpur itu yang masih tidak terusik.
Perutnya sudah betul-betul kenyang dan rakan-rakan yang lain juga tidak dapat menghabiskan makanan tersebut kerana mereka juga sudah terlalu kenyang.
Akhirnya, bungkusan berisi makanan itu dibuang ke dalam tong sampah.
Akui Amira, itu merupakan rutin tahunannya lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.
“Biasalah, kalau pergi ke bazar Ramadan, semua makanan nampak enak.
“Biarpun kedua-dua belah tangan sudah penuh dengan beg plastik berisi pelbagai juadah, tabiat ‘lapar mata’ menyebabkan saya terus membeli juadah dengan alasan teringin,” jelasnya.
Sekiranya juadah itu boleh disimpan, Amira akan menyimpannya, namun jika tidak ia dibuang begitu sahaja.
Selain terkenal sebagai bulan ibadah, bulan Ramadan juga cukup sinonim dengan panggilan bulan pesta makanan.
Hal ini kerana, lambakan bazar Ramadan yang hanya wujud sepanjang bulan puasa digunakan sehabis baik oleh peniaga dan pembeli untuk menjual serta mendapatkan juadah yang diinginkan.
Sikap sebegitu seakan mengiyakan anggapan masyarakat bahawa Ramadan merupakan bulan paling banyak berlakunya pembaziran.
Keghairahan membeli segala juadah di bazar akhirnya menyumbang kepada isu pembaziran akibat makanan yang tidak habis dimakan.
Menyedari hal itu, seorang pembangun aplikasi, Irwan Hisham, 37, mengambil inisiatif mewujudkan sebuah aplikasi telefon pintar yang dipanggil Oh!FreeFood.
Menerusi aplikasi tersebut, pengguna boleh mengiklankan makanan yang tidak dapat dihabiskan atau makanan yang dimasak lebih.
Penerima yang berminat untuk mendapatkan makanan tersebut pula boleh berhubung secara terus menerusi ruangan chat yang disediakan dan mengambil makanan daripada pemberi.
Inovatif
Jelas Irwan, idea untuk mewujudkan aplikasi tersebut timbul apabila dia menyedari bahawa terlalu banyak makanan yang dibazirkan sama ada oleh individu dan restoran.
“Selain bulan Ramadan, rakyat Malaysia dilihat sering memasak dalam kuantiti yang banyak pada sesuatu majlis kerana risau makanan yang disajikan tidak mencukupi.
“Begitu pun, apabila dimasak lebih, adakalanya ia berlebih-lebih pula sehingga tidak termakan. Menyedari hakikat tersebut, saya fikir mengapa tidak saya wujudkan satu aplikasi yang membolehkan rakyat Malaysia memberi makanan secara percuma,” jelasnya.
Tambah anak kelahiran Segamat, Johor itu juga, bulan Ramadan pula cukup terkenal sebagai bulan memberi kerana ganjarannya yang besar.
“Kita boleh bersedekah melalui aplikasi ini dan umum mengetahui amalan bersedekah pada bulan Ramadan ini berlipat ganda ganjarannya,” ujarnya.
Menyedari potensi aplikasi Oh! FreeFood, Irwan kemudian menghantar kertas kerja kepada Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan bersyukur apabila mendapat maklum balas positif daripada pihak berkenaan.
Sambutan
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Sharmila Mohamed Salleh memberitahu kru Panorama, objektif penubuhan yayasan itu sendiri adalah untuk membantu individu berinovatif.
“Selaku sebuah agensi di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KeTTHA), YIM melihat inovasi sosial yang menyokong usaha murni sebegini.
“Selepas berbincang dengan Irwan, kami bersetuju menjadikan YIM sebagai hab penerimaan dan pemberian makanan menerusi aplikasi Oh! FreeFood di sekitar Technology Park Bukit Jalil,” ujar Sharmila yang juga merupakan pengguna aplikasi tersebut.
YIM juga banyak memberi khidmat nasihat kepada Irwan dan pasukannya dari segi kelancaran aplikasi dan proses naik taraf.
“Kami melihat usaha ini sebagai sesuatu yang murni kerana ia membantu sesiapa sahaja yang mahukan makanan untuk dikongsi. Perkongsian makanan ini bersifat dua hala iaitu si pemberi mahu memberi manakala si penerima pula mahu menerima juadah yang diiklankan.
“Ia juga memberi manfaat kepada semua pihak sama ada golongan dewasa atau pelajar.
Kongsi Sharmila, ada juga antara penerima yang betul-betul susah dan sanggup menaiki kenderaan awam untuk mendapatkan satu tin susu.
“Ada seorang pengguna yang sanggup menaiki kereta api untuk mengambil satu tin susu bayi yang diiklankan dalam Oh! FreeFood. Ini menunjukkan betapa orang sedemikian berjaya mendapat manfaat daripada aplikasi sebegini,” jelasnya panjang lebar.
Tambah Irwan, sejak dilancarkan secara rasmi di Google Play dan Apps Store Januari lalu, aplikasi Oh! Free Food sudah pun mendapat sehingga 15,000 jumlah muat turun.
“Sejujurnya, saya langsung tidak menyangka aplikasi ini mendapat sambutan sepantas ini. Semasa ia mula-mula dilancarkan, ia dimuat turun sebanyak 3,000 kali.
“Begitu pun, semasa hari pertama puasa minggu lalu, jumlah muat turun naik mendadak sehingga 10,000 muat turun dan sehingga kini ia telah mencecah kepada angka 15,000.
Kewujudan aplikasi Oh! FreeFood juga membuktikan rakyat Malaysia masih kaya dengan nila-nilai murni dan gemar memberi.
“Sambutan yang diterima menunjukkan rakyat negara ini masih prihatin dan tidak kisah berkongsi juadah.
“Selain itu, saya yakin perkongsian juadah sebegini bukan bersifat bermusim kerana setiap hari, pasti ada makanan yang terlebih dan ingin dikongsi dengan orang lain.
“Oleh itu, saya berharap agar platform Oh! FreeFood ini digunakan dengan baik oleh pengguna di negara ini,” jelas Irwan sambil menambah dia turut mendapat permintaan untuk mewujudkan aplikasinya itu di negara-negara lain namun semuanya masih dalam perancangan.











