SEPANG 18 Mei – Menawarkan pekerjaan sebagai penghantar barang ke luar negara dengan gaji lumayan merupakan taktik baharu sindiket dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, akibat terperdaya dengan tawaran itu, akhirnya empat lelaki warga tempatan terperangkap sebagai mangsa keldai dadah.
Katanya, siasatan awal mendapati mereka mengetahui peluang pekerjaan itu dengan tawaran gaji sehingga RM6,000 menerusi hebahan media sosial seperti Facebook, WeChat dan Messenger.
“Setelah sahaja bersetuju dengan tawaran kerja itu, mereka diminta hadir ke hotel sekitar Kuala Lumpur untuk menjalankan pekerjaan menghantar barang.
“Sebaik tiba di hotel, telefon bimbit masing-masing dirampas dan selepas itu barulah mereka dimaklumkan tentang aktiviti kerja menghantar dadah ke luar negara iaitu Taipei, Taiwan dan Busan, Korea Selatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA di hari ini.
Menurut Zulkifli, sindiket itu terbongkar menerusi empat siri kejayaan polis yang menahan suspek-suspek lingkungan usia 27 hingga 42 tahun di KLIA sejak Rabu lalu.
Kata beliau, menerusi tangkapan itu, pihaknya berjaya merampas dadah jenis Syabu seberat 2.975 kilogram (KG) dan 5.070 Ketamin dengan keseluruhannya dianggarkan bernilai RM240,000.
“Tangkapan terbaharu melibatkan dua kes di balai pelepasan KLIA pada hari ini iaitu pada 5.20 dan 6.50 pagi dengan mereka ingin berlepas ke Taipei.
“Mereka ini didapati cuba menyeludup dadah dengan menyorokkan dadah di bahagian betis dan peha serta seluar dalam susulan hasil pemerhatian awal polis setelah mendapati berada dalam keadaan mencurigakan,” katanya.
Katanya, mereka masing-masing telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -UTUSAN ONLINE











