KUALA TERENGGANU 18 Mei – Pengendali Terengganu FC ll (TFC ll), Tengku Hazman Raja Hassan gusar kerana jentera serangan TFC ll masih tumpul dan bergantung sepenuhnya kepada pemain import.
“Saya akui ketiadaan (penyerang) Akanni Sunday yang digantung satu perlawanan kerana menerima tiga kad kuning menyukarkan kita untuk jaringkan gol dan nampak jelas kepincangan di situ.
“Bagaimanapun saya cuba beri peluang kepada pemain muda dan nampaknya mereka berjaya memberikan persembahan dengan baik walaupun ada sedikit kekurangan di beberapa aspek” katanya.
TFC II kekal menduduki tangga keempat Liga Perdana di belakang UiTM FC biarpun mengalahkan PDRM 1-0 dalam aksi di tempat sendiri, malam tadi.
Katanya TFC II bermain sangat baik berbanding ketika perlawanan menentang Negeri Sembilan di Stadium Paroi tempoh hari apabila tumpas 0-1 kerana banyak kesilapan-kesilapan kecil yang dilakukan pemain.
Mengulas lanjut, Tengku Hazman berkata pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan yang berfungsi dengan baik serta mempamerkan aksi cemerlang. – BERNAMA











