KUALA LUMPUR 18 Mei – Pengasas produk D’Herb, Datuk Seri Aliff Syukri memuat naik status susulan kemalangan menimpa rakannya, pengasas Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad yang meninggal dunia dalam kemalangan di Patani, Thailand pagi tadi.
Menurut Aliff, arwah sudah berjanji mahu berjumpa dengan beliau malam ini.
“Pergi dalam bulan yang mulia..dalam perjalanan hantar zakat.. dia (arwah) dah janji nak jumpa saya malam ini, sahabat tolong doakan beliau,” menurut status akaun Facebook miliknya hari ini.
Faziani maut selepas kereta jenis Toyota Estima dinaiki bersama suaminya terlibat dalam kemalangan di Patani.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi, suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, mengalami kecederaan.
Alif menambah, dia sedih dan terkejut menerima perkhabaran itu kerana telah mengenali arwah sejak 15 tahun lalu.
“Jujurnya pahit untuk saya tulis ini sebab saya kenal kak Faziani lebih 15 tahun ketika berniaga di pasar lagi sehinggalah beliau berjaya.
“Saya terus terimbau kembali kebaikan kak Faziani orangnya sangat-sangat baik. Setiap tahun bagi sumbangan dan ke umrah, ikhlas dan tidak pernah memburukkan orang lain walau diburukkan malah dia janji nak datang majlis saya malam ini iftar siap tempah untuk dua orang,” katanya.
Alif kemudian mendoakan semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan mereka yang beramal soleh dan rezeki arwah pergi pada bulan ramadhan penuh keberkatan.
Menurutnya, dia akan ke Kelantan selepas majlisnya selesai sebagai tanda peringatan dan penghormatan terakhir kepada arwah.
Dalam pada itu, pengasas produk Vida Beauty Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida turut mengucapkan takziah kepada arwah atas kejadian tersebut.

“Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga Hajjah Faziani Rohban Ahmad (Pengasas Dnars skincare) yang telah pulang ke rahmatullah pada hari ini dalam Kemalangan jalan raya.
“Marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat arwah dan semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT,” katanya seperti dalam status akaun Instagram miliknya hari ini. – UTUSAN











