IPOH – Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan akan memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan polis berikutan tular satu laporan polis mendakwa dia telah melakukan gangguan seksual terhadap bekas pembantunya sejak semalam.
Kesavan dalam satu sidang akhbar di sini malah menegaskan bahawa dia merupakan mangsa di dalam kes berkenaan selepas diganggu wanita tersebut melalui panggilan telefon sehingga berpuluh kali dalam sehari selain ugutan yang boleh menjejaskan maruah dan reputasinya selaku Ahli Parlimen.
“Pada awalnya saya tidak mengesyaki apa-apa niat buruknya terhadap saya kerana saya menganggap dia sama seperti sukarelawan lain yang mahu membantu saya berkempen.
“Bagaimanapun keadaan mula berubah apabila dia bertindak mencampuri urusan kerja, parti dan rumah tangga sehingga memburuk-burukkan isteri saya seolah-olah kami mempunyai masalah rumah tangga,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai, A. Sivanesan.
Tambah Kesavan, karakter wanita yang dikenalinya pada dua tahun lalu itu bagaimanapun berubah daripada seorang yang mengaku mahu menjadi kawan kepada seorang yang mula menaruh perasaan terhadapnya walaupun wanita itu sudah mempunyai suami dan dua anak.
“Saya menyedari perubahan tersebut pada dirinya pada September tahun lalu dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyarankan saya membuat satu laporan polis berhubung perkara itu.
“Laporan polis dibuat pada 4 Mei lalu di Balai Polis Sungai Siput dan wanita tersebut juga telah membuat satu laporan polis pada kelmarin yang mendakwa saya melakukan gangguan seksual terhadapnya,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai ungkapan ‘I love you’ yang didakwa diucapkan kepada wanita tersebut, Kesavan enggan mengulas lanjut dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis.
“Saya sudah serahkan semua bukti yang ada pada saya kepada pihak polis. Biarlah mereka menyiasatnya dengan adil.
“Wanita berkenaan sebelum ini juga pernah terlibat dalam satu kes tuduhan jahat terhadap Pengerusi MIC Perak, V. Elango dan saya rasa mungkin dia juga ada agenda lain terhadap saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin mengesahkan menerima satu laporan daripada Kesavan dan polis sedang melakukan siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











