KUALA LUMPUR 18 Mei – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkongsi beberapa gambar beliau menunaikan ibadah umrah menerusi akaun Twitter miliknya iaitu, @HishammuddinH20.
Beliau yang juga merupakan bekas Naib Presiden UMNO, menunaikan ibadah tersebut bersama keluarga termasuk isterinya, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah sejak 14 Mei lalu.
Gambar bersama Imam Masjidilharam, Syaikh Bandar Abd. Aziz Balilah merupakan antara gambar yang dikongsikan oleh beliau selain gambar bersama jemaah umrah dari Kelantan di dalam Masjidil Haram.

Sementara itu, menerusi ciapan terbaharunya semalam, Hishammuddin turut berkongsi gambar beliau bertemu Penasihat Utama Putera Mahkota Arab Saudi iaitu Putera Muhammad Badar Fahad al-Saud.
“Alhamdulillah, dapat bersama berjemaah solat tarawih di Masjid An Nabawi dengan HH Prince Muhammad Bin Badar Bin Fahad al-Saud, penasihat utama HRH Putera Mahkota Arab Saudi Mohamad bin Salman.
“Alhamdulillah sehingga kini hubungan persaudaraan Islam kita masih kekal baik, Amin,” katanya.-UTUSAN ONLINE











