TSAGAANNUUR – Sepasang suami isteri dari etnik Kazakh, Mongolia ditemukan mati akibat kegagalan organ selepas dipercayai memakan daging marmot mentah.
Mangsa lelaki berusia 38 tahun manakala isterinya 37 tahun. Mereka meninggalkan empat anak berusia antara sembilan bulan hingga 14 tahun.
Mengikut kepercayaan masyarakat di sini, makan bahagian dalaman sesetengah binatang tanpa dimasak bagus untuk kesihatan.
Kematian pasangan itu menyebabkan seluruh kawasan perkampungan tersebut yang terletak berdekatan sempadan antara Mongolia dan Rusia dikuarantin buat sementara waktu.
Keputusan itu dibuat kerana pihak berkuasa bimbang jika pasangan tersebut dijangkiti pneumonic plague iaitu sejenis penyakit yang mudah merebak.
Turut dikuarantin ialah 28 individu yang bekerja di tempat sama dengan mangsa lelaki termasuk pengunjung asing dari Switzerland, Sweden, Kazakhstan dan Korea Utara. – VICE











