AMERIKA SYARIKAT – Empat kanak-kanak ditemukan hidup ‘bergelu–mang’ dengan ribuan lipas dalam satu serbuan di sebuah rumah di Louisville.
Serbuan itu dibuat selepas polis menerima laporan seorang daripada kanak-kanak tersebut hadir ke sekolah dengan bibirnya luka.
Ketika ditemui, kesemua kanak-kanak itu kelihatan tidak terurus dan memakai baju yang kotor sekali gus menunjukkan mereka terabai.
Pemerhatian pihak polis mendapati lipas-lipas yang masih hidup dan sudah mati bertaburan atas lantai dan sekitar tilam.
Polis turut menjumpai ratusan anak lipas di katil bayi milik kanak-kanak yang berusia dua tahun.
Ekoran penemuan itu, polis menahan sepasang kekasih yang merupakan penjaga kanak-kanak tersebut.
Sean Landry, 38, dan Jessica Downs, 31, didakwa mendera dan membahayakan nyawa empat kanak-kanak berkenaan.
Sean dilaporkan sebagai bapa kandung kepada seorang kanak-kanak tersebut dan penjaga kepada tiga yang lain.
Polis bagaimanapun tidak mendedahkan hubungan Jessica dengan kesemua kanak-kanak berkenaan, namun mereka tinggal serumah. – METRO UK











