INDIA – Seorang lelaki yang memiliki masalah pembelajaran diraikan dalam satu majlis perkahwinan secara gilang-gemilang mengikut adat Gujarati.
Ajay Barot, 27, bagaimanapun diraikan bersendirian tanpa pengantin perempuan.
Majlis itu diadakan keluarganya semata-mata hendak memenuhi hasrat lelaki itu yang mengimpikan majlis perkahwinan secara mewah dan besar-besaran.
Bapa Ajay, Vishnu Barot berkata, adalah mustahil bagi anaknya untuk mempunyai pasangan hidup berikutan masalah yang dialaminya.
“Dia sering melihat majlis perkahwinan orang lain dan bertanya kepada kami tentang majlis perkahwinannya.
“Selepas berbincang dengan ahli keluarga, saya memutuskan untuk mengatur perarakan dan majlis kahwin besar-besaran untuknya.
“Saya sangat gembira kerana dapat memenuhi impian anak lelaki saya dan tidak peduli dengan pandangan masyarakat,” katanya.
Sebelum majlis perkahwinan berlangsung, Ajay menjalani upacara mehendi dan sangeet yang diraikan oleh ahli keluarga terdekat.
Hari berikutnya, Ajay yang berpakaian lengkap pengantin diarak menunggang kuda dengan kira-kira 200 tetamu menari sambil diiringi lagu Gujarati. – THE TIMES OF INDIA











