MELIHAT keperibadiannya yang bersahaja dan mudah mesra, pastinya masyarakat beranggap bahawa gadis berusia 23 tahun yang popular dalam laman sosial Instagram itu memiliki ramai kenalan.
Nuraien Adilla Hasha atau lebih dikenali dengan panggilan Elcah oleh lebih 484,000 pengikutnya bagaimanapun mendedahkan bahawa dia tidak memiliki ramai kenalan ekoran lebih selesa berkawan dengan kenalan rapat sedia ada.

Di sebalik sifatnya yang gemar berjenaka, bergaul, berbual dan menghiburkan ramai orang, gadis yang berasal dari Kuala Lumpur ini menyimpan angan-angan untuk membuka sebuah rumah jagaan kucing bagi memberi pelindungan kepada kucing terbiar.
Mengimbau kembali cita-citanya semasa zaman persekolahan, Elcah memasang impian untuk menjadi seorang veterinar ekoran rasa minat dan sayang bapanya terhadap haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW itu.
Namun, akibat kucing kesayangan dibela oleh bapanya sakit dan mati, dia tidak berhasrat menyambung impian tersebut ekoran rasa sedih dan tidak sanggup melihat haiwan dijaga dan ditatang bagai menatang minyak yang penuh menderita sakit.
“Pun begitu, saya berharap suatu hari nanti akan memiliki perniagaan sendiri dan wang yang dijana daripada perniagaan tersebut dapat digunakan untuk membantu keluarga membuka rumah jagaan kucing bagi kucing terbiar,” katanya.
Tidak lekang senyuman di bibir, gadis selebriti media sosial yang kini semakin mencuri tumpuan ekoran wajahnya cantik, bersih dan polos turut menjadi perhatian syarikat-syarikat terkenal untuk mempromosi produk mereka melalui ulasan berbayar.
Sebagai permulaan mencapai impiannya itu, Elcah kini mula berjinak-jinak menceburi bidang kecantikan, kosmetik dan penjagaan diri dengan menghasilkan beberapa produk di bawah jenama Elcahco.
“Alhamdulillah keluarga sentiasa menyokong saya dan mereka tidak putus memberi semangat sehingga kini.
“Saya amat bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah. Saya berusaha keras untuk memiliki apa jua barangan yang diinginkan, termasuk menggunakan wang sendiri untuk perbelanjaan perkahwinan,” katanya.
INFO
Nuraien Adilla Hasha
Asal: Kuala Lumpur
Umur: 23 Tahun
Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
Pekerjaan: Selebriti media sosial dan usahawan
Instagram: @elcah











