Lelaki ditahan dipercayai pukul isteri, anak - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan dipercayai pukul isteri, anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR 17 Mei – Seorang lelaki ditahan kerana dipercayai memukul isteri dan anak perempuan mereka dalam kejadian di Taman Sri Emas di sini kelmarin.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, lelaki berusia 36 tahun dan tidak bekerja itu ditahan semalam selepas polis bertindak atas laporan yang dibuat isterinya pada hari sama.

“Kejadian pada pukul 6 petang Rabu lalu itu berpunca apabila lelaki terbabit mengamuk dan memarahi anak perempuannya yang berusia 13 tahun dengan menarik rambut mangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Wanita tersebut cuba menghalang suaminya daripada terus memukul anak sulung mereka itu namun dia telah ditampar di pipi kanan sambil rambutnya direntap dan kepala dihentak ke kerusi,” katanya.

Menurut Razali, suspek yang dimarahi oleh isterinya kerana memukul anak mereka kemudiannya bertindak memulas tangan kiri wanita itu ke belakang, menumbuk perut dan menghentak kepalanya ke dinding.

Katanya, mangsa yang bekerja sebagai pembantu perawatan di Hospital Kuala Kangsar itu juga ditarik ke lantai sebelum lelaki terbabit mencekik lehernya sehingga dia sukar bernafas.

“Anak pasangan tersebut yang sebelum itu berlari masuk ke dalam bilik telah menjerit meminta bapanya melepaskan mangsa. kejadian ini menyebabkan wanita itu cedera dan anaknya mengalami trauma,” katanya.

Razali berkata, siasatan yang dilakukan mendapati, pasangan suami isteri yang mempunyai empat anak termasuk seorang anak angkat itu sedang dalam proses penceraian di Mahkamah Syariah Kuala Kangsar.

Katanya, isteri suspek juga mendakwa tidak tahan lagi dengan kelakuan dan sikap panas baran lelaki itu yang sering memukulnya dan dua anak mereka yang berusia 13 dan lima tahun.

“Permohonan reman terhadap lelaki itu akan dipohon hari ini. Siasatan kes dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 323/326a Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini