KUALA LUMPUR 16 Mei – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus tegas dengan peraturan tidak membenarkan anggota Kabinet menjalankan aktiviti berkempen dalam mana-mana pilihan raya ketika waktu bekerja.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, peraturan SPR itu munasabah dan wajar bagi mencegah daripada berlakunya penyalahgunaan sumber awam.
“Masyarakat tidak membayar menteri dan pegawai awam untuk menyertai kempen pilihan raya atau terlibat dalam aktiviti-aktiviti politik ketika waktu bekerja.
“Justeru, SPR digesa supaya tidak perlu gusar dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kelmarin kerana anggota Kabinet sepatutnya mengambil cuti jika mahu mengambil bahagian dalam kempen pilihan raya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Dominic, peraturan yang diumumkan oleh Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson lalu adalah selaras dengan prinsip Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
“Pemimpin-pemimpin PH sebelum ini sering menekankan mengenai pemisahan politik dengan tadbir urus kerajaan, justeru ia perlu dilaksanakan kerana hari ini mereka telah menjadi kerajaan,” katanya.
Selasa lalu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PH melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan peraturan SPR yang melarang anggota Kabinet daripada menjalankan aktiviti berkempen dalam waktu bekerja pada pilihan raya.
Kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekatan itu seolah-olah memberi peluang kepada parti lawan yang tidak ada kerja boleh berkempen selama 24 jam. – UTUSAN ONLINE











